TEBEDU: Rakyat Sarawak perlu menilai rekod pencapaian dan keupayaan mentadbir, bukannya terpengaruh dengan janji manis parti pembangkang yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah membuktikan kemampuannya menjaga kepentingan negeri serta melaksanakan pembangunan yang memberikan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Tegasnya, peningkatan hasil negeri daripada RM5.19 bilion pada 2016 kepada unjuran lebih RM15 bilion tahun depan membuktikan keupayaan kepimpinan Sarawak memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
“Yang Amat Berhormat Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg seorang pemimpin yang pintar, pandai mencari duit. Sebab itu pendapatan kita bertambah dan banyak projek dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 2 di Tapak Perasmian dan Dewan Kampung Temong Mawang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah berkata, keputusan menubuhkan GPS selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum 2018 merupakan langkah penting bagi memastikan Sarawak terus ditadbir oleh kepimpinan tempatan yang memahami keperluan rakyat.
Jelasnya, gabungan itu dibentuk hasil kesepakatan pemimpin parti komponen Sarawak ketika itu, iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP bagi memperjuangkan kepentingan negeri secara lebih tersusun.
Beliau menegaskan, antara pencapaian penting kerajaan GPS ialah kejayaan memperkukuh kuasa negeri termasuk pengambilalihan pengurusan Pelabuhan Bintulu yang sebelum ini berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
Dalam isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pula, Uggah berkata, pindaan Kanun Tanah Sarawak turut membolehkan tanah Pemakai Menoa dan Pulau Galau diiktiraf melalui Seksyen 6A.
Katanya, langkah itu merupakan perubahan penting dalam usaha melindungi hak masyarakat Bumiputera terhadap tanah adat yang diwarisi sejak turun-temurun.
Beliau berkata, seluas 1.3 juta hektar tanah di seluruh Sarawak sudah diluluskan di bawah Seksyen 6, dengan satu juta hektar daripadanya telah diwartakan, manakala 135,000 hektar disukat di bawah Seksyen 18.
Bagi kawasan Tebedu pula, sebanyak 18,109 hektar tanah diluluskan di bawah Seksyen 6, termasuk 13,000 hektar yang sudah diwartakan, manakala 6,205 hektar disukat di bawah Seksyen 18 dengan 2,000 lot hak milik dikeluarkan.
Menurutnya, kerajaan turut menambah lebih 400 kakitangan Jabatan Tanah dan Survei bagi mempercepatkan proses pengukuran tanah serta memastikan tuntutan masyarakat dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah mempercayai dakwaan atau tawaran pihak tertentu berkaitan tanah NCR tanpa memahami peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sarawak.
“Di Sarawak, hanya Kanun Tanah Negeri yang boleh digunakan dan diterima untuk mengurus tanah, termasuk tanah NCR. Jangan sampai kita terperangkap dengan janji yang tidak berpijak pada undang-undang,” katanya.
Uggah berkata, kekuatan GPS turut bergantung pada perpaduan masyarakat berbilang kaum serta kepimpinan yang meletakkan kepentingan semua rakyat sebagai keutamaan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Justeru, beliau menyeru rakyat terus memberikan kepercayaan kepada GPS untuk menerajui Sarawak dan memastikan agenda pembangunan serta pembelaan hak negeri dapat diteruskan di bawah kepimpinan Premier.




