ARTIKEL

Nanta ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang (Reka dan Bina) di sini, hari ini. Foto: Ramidi Subari

99 Projek Pembangunan Persekutuan Bernilai RM12 Bilion Diluluskan di Sarawak


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 99 projek pembangunan fizikal Persekutuan bernilai RM12 bilion diluluskan untuk dilaksanakan di Sarawak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 35 projek bernilai RM5 bilion kini dalam peringkat pembinaan.

Katanya, projek bernilai RM50 juta ke bawah pula diserahkan kepada JKR Sarawak untuk dilaksanakan.

“Keseluruhan 99 projek itu sudah diluluskan dengan nilai RM12 bilion. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35 projek bernilai RM5 bilion kini dalam pembinaan.

“Ini merupakan projek di bawah pelaksanaan JKR Malaysia di peringkat Persekutuan, manakala projek bernilai RM50 juta ke bawah diserahkan kepada JKR Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang (Reka dan Bina) di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika berucap beliau memberitahu Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Malaysia kini menekankan pelaksanaan projek bukan sahaja mengikut jadual, malah disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan atau Mendahului Jadual (AOT).

Menurutnya, kementerian turut menyasarkan pengurangan keperluan lanjutan masa (EOT), selain terus berusaha mengurangkan peratusan projek sakit dilaksanakan JKR, yang kini berada pada kira-kira empat peratus atau kurang daripada lima peratus.

“Dalam KKR sekarang nama saya Alex bermula dengan huruf A, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan juga A; Ketua Setiausaha Tetap (KSU) KKR Datuk Seri Azman Ibrahim huruf A; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun A; dan kalau di Sarawak Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari pun A.

“Justeru, kita tekankan A ‘Ahead of Time’, tidak mahu lagi EOT,” ujarnya berseloroh.

Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada kontraktor yang berjaya menyiapkan projek lebih awal daripada jadual akan diberikan insentif atau keutamaan bagi projek seterusnya, beliau menegaskan setakat ini tiada bonus atau projek tambahan disediakan secara khusus kepada mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, KKR dan JKR mempunyai rekod prestasi kontraktor yang membolehkan pihaknya mengenal pasti syarikat yang boleh dipercayai serta berupaya melaksanakan projek dengan baik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU