KOTA SAMARAHAN: Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang bernilai RM119.1 juta berjaya disiapkan, sekali gus menyediakan 190 unit kediaman pelbagai kelas bagi kemudahan dan keselesaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga mereka.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dibangunkan di kawasan seluas 28.3 ekar itu merangkumi satu unit kediaman kelas B2, tiga unit kelas B1 dan kelas C4, sembilan unit kelas C3, 30 unit kelas C2, 32 unit kelas F dan 112 unit kelas G.
Katanya, projek berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan termasuk surau, tadika, taska, rumah sampah dan rumah pam, selain kerja-kerja mekanikal serta elektrikal bagi memenuhi keperluan harian penghuni.
“Projek ini berjaya disiapkan dengan baik dalam tempoh ditetapkan, iaitu kira-kira tiga tahun, walaupun terdapat sedikit lanjutan masa (EOT) tetapi ia disebabkan pertambahan skop kerja dan bukannya kelemahan kontraktor.

“Kita berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota tentera dan keluarga mereka yang akan menetap di sini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang (Reka dan Bina) di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap, beliau menegaskan tanggungjawab ke atas projek berkenaan tidak berakhir selepas penyerahan dan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu mengambil tindakan ke atas setiap aduan berkaitan kecacatan kerja serta memantau kerja pembaikan yang dilaksanakan kontraktor sehingga selesai.
Menurutnya, dalam masa dua tahun kontraktor masih bertanggungjawab untuk membaiki sebarang kecacatan atau ketidaksempurnaan yang dikenal pasti pada kerja-kerja penyiapan projek.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penyelarasan erat antara Kementerian Pertahanan (MINDEF), pihak pengguna, JKR dengan kontraktor amat penting bagi memastikan setiap isu selepas penyerahan dapat diselesaikan dengan cekap kerana kerjasama itu juga dapat meminimumkan gangguan kepada penghuni, khususnya anggota dan keluarga angkatan tentera yang mendiami kediaman berkenaan.
“Saya juga berharap pihak pengurusan kediaman memastikan pemeriksaan dan penyenggaraan berkala dilaksanakan agar kediaman serta kemudahan bersama kekal selamat dan berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Untuk rekod, menerusi majlis hari ini, Kerajaan MADANI menyerahkan Projek Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang yang dilaksanakan oleh JKR Malaysia bagi menyediakan kediaman yang selesa kepada anggota ATM dan keluarga mereka.
Projek berkenaan juga diselia oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia menerusi kaedah Reka dan Bina, dengan Faltech Engineering Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama. Kerja pembinaan bermula pada 9 Mei 2023, manakala Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan pada 2 Oktober 2026.


