BINTULU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam saringan penyakit serta pembangunan sistem kesihatan digital menjadi antara pendekatan yang digerakkan bagi memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar di Bahagian Bintulu.
Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Datuk Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan perubatan di bandar.
Menurutnya, kerjasama dengan Press Metal membolehkan penggunaan peralatan sinar-X mudah alih berasaskan AI bagi memperluas pelaksanaan saringan tuberkulosis (TB), khususnya di kawasan pedalaman yang berdepan kekangan akses kepada kemudahan kesihatan.
Beliau berkata, sejak 2024, lebih 6,400 individu menjalani saringan menerusi inisiatif berkenaan, dengan 62 kes TB berjaya dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan susulan dan rawatan dilaksanakan dengan segera.

“Penggunaan teknologi itu bukan sahaja membantu memperluas liputan saringan, malah meningkatkan keupayaan pengesanan awal penyakit dalam kalangan masyarakat yang sukar mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Selain penggunaan teknologi, usaha mendekatkan kemudahan rawatan kepada penduduk luar bandar turut dilaksanakan menerusi Klinik Kesihatan Sungai Asap yang menggunakan konsep hospital kecil,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini, Ahad malam.
Dr Melvin berkata, kemudahan itu membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan pemerhatian, diagnosis dan rawatan di kawasan berdekatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke bandar untuk mendapatkan rawatan asas dan pemantauan kesihatan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting dalam mengurangkan beban perjalanan penduduk luar bandar, selain memastikan rawatan dapat diberikan dengan lebih mudah dan berkesan.
Bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan, pihaknya turut merancang pembangunan sistem kesihatan digital yang menghubungkan klinik di kawasan luar bandar dengan pusat rujukan utama.
Beliau berkata, sistem berkenaan akan memudahkan perkongsian rekod serta maklumat pesakit antara fasiliti kesihatan, sekali gus membantu meningkatkan penyelarasan rawatan dan kesinambungan penjagaan pesakit.
Katanya, visi pihaknya bagi tempoh lima tahun akan datang adalah untuk membangunkan sistem kesihatan digital yang meliputi kawasan bandar dan seluruh kawasan luar bandar di Bahagian Bintulu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Suzalina Sulaiman antara yang hadir.


