ARTIKEL

Kemudahan Kesihatan Bintulu Perlu Dipertingkat Seiring Pembangunan – Tiong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kemudahan dan kapasiti perkhidmatan kesihatan di Bintulu perlu dipertingkatkan seiring kepesatan pembangunan serta pertumbuhan penduduk bagi memastikan keperluan rawatan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata perkembangan Bintulu sebagai pusat pelaburan antarabangsa menuntut perancangan lebih menyeluruh dalam sektor kesihatan, termasuk penyediaan infrastruktur, peralatan perubatan moden serta tenaga kerja mencukupi.

Beliau berkata, pembangunan pesat kawasan itu perlu disokong sistem kesihatan yang berkeupayaan memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat, selain memastikan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Seiring pertumbuhan Bintulu, kita perlu memastikan kemudahan kesihatan dan jumlah petugas perubatan turut berkembang mengikut keperluan semasa supaya rakyat mendapat rawatan yang sewajarnya.

Tiong bersalaman dengan kakitangan kesihatan yang menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sebuah hotel di Bintulu.

“Kita tidak boleh membiarkan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman ketinggalan hanya kerana mereka tinggal jauh dari hospital atau klinik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini, Ahad malam.

Menurut Tiong, berdasarkan pengalamannya lebih 20 tahun sebagai Ahli Parlimen Bintulu, masih terdapat keluarga yang berdepan kesukaran untuk membawa anggota keluarga mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, terutama mereka yang menetap di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menggesa pasukan kesihatan mempergiat pendekatan turun padang dengan mengadakan lawatan lebih kerap ke kawasan luar bandar, termasuk dari satu rumah panjang ke rumah panjang yang lain bagi memastikan penduduk mendapat pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Katanya, pendekatan itu juga wajar diperluas oleh pegawai kesihatan di bahagian lain supaya penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih dekat dengan masyarakat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada keupayaan pesakit untuk datang ke fasiliti kesihatan.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan kesihatan, beliau turut menyatakan komitmen untuk membantu memperjuangkan pembinaan blok baharu Hospital Bintulu berkapasiti 500 katil yang mendapat persetujuan secara prinsip.

Beliau turut meminta pihak pengurusan Hospital Bintulu bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyemak pelan pembangunan berkenaan dan mengenal pasti sebarang kekurangan lebih awal supaya penambahbaikan dapat dilakukan sebelum projek diteruskan.

Tiong berkata, keperluan menyediakan unit rawatan melecur khusus juga penting memandangkan Bintulu menempatkan pelbagai industri berisiko tinggi yang memerlukan kesiapsiagaan sistem kesihatan untuk menangani kecederaan serius sekiranya berlaku kecemasan.

Selain pembangunan infrastruktur, beliau berkata usaha menaik taraf peralatan perubatan turut menjadi keutamaan, termasuk persiapan pengoperasian peralatan pengimbas baharu di Hospital Bintulu yang dijangka bermula Januari 2027.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan klinik luar bandar melalui penyediaan kemudahan digital dan capaian Internet yang lebih baik menjelang 2027 bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Hospital Bintulu atas pengiktirafannya sebagai antara hospital terbaik dunia pada 2025, manakala Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu menerima Anugerah Pejabat Kesihatan Bahagian Terbaik menerusi Audit Penarafan Bintang Program Kesihatan Awam 2026.

BERITA LAIN

49 Sebab Untuk Hantar Siaran Akhbar

Panduan Santai Untuk Usahawan Yang Mahu Bisnesnya Disebut-sebut Ramai pemilik bisnes kecil anggap siaran akhbar (press release) untuk syarikat gergasi yang ada jabatan komunikasi sendiri.

BERITA TERBARU