BINTULU: Pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan kesalahan letak kereta di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berpeluang menikmati diskaun 50 peratus bagi menyelesaikan keseluruhan tunggakan masing-masing menerusi kempen khas selama sebulan bermula hari ini hingga 16 Disember depan.
Pemangku Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Environment (ES) BDA, Ahmad Ghazi Ariffin berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan orang ramai, selain menggalakkan pemilik kenderaan melunaskan tunggakan yang masih belum dijelaskan.
Menurutnya, kempen berkenaan mencerminkan pendekatan mesra rakyat BDA dalam memberikan peluang kepada masyarakat menyelesaikan tanggungjawab masing-masing menerusi tawaran potongan bayaran yang signifikan.
Katanya, tawaran itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan tempat letak kereta, sekali gus mengelakkan pengumpulan tunggakan pada masa hadapan.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat sempena pelancaran Kempen Diskaun 50 Peratus Tunggakan Kesalahan Letak Kereta yang disempurnakan Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari di Taman Koridor Sejarah dan Budaya Bintulu, Parkcity Commerce Square, di sini, pada Isnin.
Kempen yang berlangsung dari 16 November hingga 16 Disember itu terbuka kepada pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan kesalahan letak kereta dengan syarat mereka bersetuju menjelaskan keseluruhan tunggakan selepas mengambil kira diskaun berkenaan.
Pembayaran boleh dibuat di Bilik 005, Kaunter One Stop Centre, Pejabat PERBINDA, BDA, sepanjang tempoh kempen berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengambil peluang sepanjang tempoh kempen berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan masing-masing, selain terus mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan tempat letak kereta yang ditetapkan.





