KUCHING: Kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bukan jaminan semua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di kawasan bandar, terus mendapat kepercayaan rakyat.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Piasau yang juga penganalisis politik, Jaya Ramba berkata, terdapat keluhan dalam kalangan sebahagian masyarakat bandar, khususnya bumiputera, dengan prestasi segelintir wakil rakyat sepanjang lima tahun lalu.
“Meskipun pembangunan fizikal semakin rancak, manfaat kemajuan itu masih dipersoalkan apabila golongan miskin bandar, peniaga kecil dan belia terus berdepan kesukaran ekonomi serta peluang pekerjaan yang terhad.
“Antara rungutan dibangkitkan ialah wakil rakyat yang didakwa sukar ditemui, kurang mendengar masalah penduduk dan hanya muncul ketika program rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Jaya, jawatan wakil rakyat bukan sekadar kedudukan, sebaliknya amanah yang menuntut komitmen, kesungguhan dan keupayaan menyelesaikan masalah masyarakat.
Tambahnya persepsi bahawa perhatian dan bantuan sesetengah wakil rakyat lebih tertumpu kepada kelompok tertentu sehingga sebahagian penduduk berasa terpinggir.
Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu diberikan perhatian tanpa mengira kaum atau kedudukan ekonomi, terutama golongan miskin yang memerlukan pembelaan.
Beliau turut membangkitkan isu banjir, kerosakan kediaman dan masalah perparitan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukannya sekadar lawatan serta bantuan sementara ketika bencana.
Selain itu, Jaya memberitahu, masyarakat mahukan wakil rakyat yang mudah ditemui, sedia mendengar keluhan serta membantu mempercepat urusan permohonan bantuan yang layak mengikut peraturan.
Katanya, kekuatan GPS tidak seharusnya menjadi sandaran bagi penyandang yang gagal melaksanakan amanah, sebaliknya rekod perkhidmatan dan hubungan dengan rakyat perlu turut dinilai.
“Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, masyarakat bukan menolak pembangunan tetapi mahu memastikan kemajuan negeri turut dirasai semua golongan dan tidak menyebabkan mana-mana kelompok terus terpinggir,” ujarnya.




