ARTIKEL

Atlet boling kebangsaan kelahiran Miri, Gillian Lim meraih pingat emas perseorangan wanita pada Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-28 di Doha, Qatar.

Gillian Atasi Pendarahan Hidung, Rangkul Emas Asia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendarahan hidung ketika permainan pertama tidak menghalang atlet boling kelahiran Miri, Gillian Lim bangkit merangkul pingat emas perseorangan wanita pada Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-28 di Doha, Qatar, Sabtu lalu.

Pemain kebangsaan berusia 26 tahun itu menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam kejohanan berkenaan selepas mencatat 1,368 jatuhan pin daripada enam permainan, mengatasi Li Yi-Rou dari Taiwan (1,337) dan Baek Seungja dari Korea Selatan (1,328).

Gillian mengakui berdepan permulaan sukar, namun berjaya mengekalkan ketenangan untuk mengatasi cabaran lawan.

“Saya hanya memberikan perhatian kepada setiap balingan dan terus bersabar sepanjang pertandingan,” katanya selepas meraih kemenangan berkenaan.

Kebangkitan Gillian semakin menyerlah apabila mencatat 279 jatuhan pin pada permainan kelima untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sebelum mengesahkan kejuaraan menerusi 221 jatuhan pin dalam permainan terakhir.

Kejayaan itu menyaksikan Gillian menamatkan saingan dengan kelebihan 31 jatuhan pin mengatasi Li Yi-Rou, sekali gus membuktikan ketahanan mentalnya selepas mengharungi permulaan mencabar.

Menurut Gillian, kejayaan tersebut merupakan hasil persiapan intensif selama kira-kira sebulan yang memberi penekanan ke atas kecergasan fizikal dan kekuatan mental.

Beliau turut mendedikasikan kejayaan itu kepada keluarga, jurulatih serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.

Gillian mula berkecimpung dalam sukan boling sejak berusia lapan tahun di Miri dan merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph Miri, selain graduan Sunway College.

Beliau yang merupakan atlet elit ABAS pernah mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan Kejohanan Boling Antara Negeri sebelum menyertai skuad remaja kebangsaan pada 2008 serta Program Podium pada 2020.

Tahun lalu, Gillian turut mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Pemain Baharu Terbaik Tahunan Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat.

Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-28 yang berlangsung dari 11 hingga 22 November ini menghimpunkan peserta daripada 18 negara dan persekutuan boling Asia, sekali gus menjadikan kejayaan Gillian satu lagi pencapaian membanggakan buat Sarawak dan Malaysia.

BERITA LAIN

Moraes Dalam Radar The Cats

KUCHING: Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes menjadi antara pemain yang diidamkan Kuching City FC, namun kekangan kewangan dan kontrak menjadi pertimbangan utama untuk mendapatkan khidmat

BERITA TERBARU

DBKU perkukuh keselamatan kerja

SERAMAI 12 kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengikuti Kursus Working at Height (WAH) bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan keselamatan ketika menjalankan tugas di