KUCHING: Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes menjadi antara pemain yang diidamkan Kuching City FC, namun kekangan kewangan dan kontrak menjadi pertimbangan utama untuk mendapatkan khidmat pemain Brazil itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan mengakui Moraes memiliki kualiti yang diperlukan The Cats, tetapi sebarang keputusan pengambilan pemain baharu bergantung kepada perancangan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Foto: Chrigor Moraes
“Secara peribadi, saya melihat Moraes sebagai penyerang yang memang kita mahukan. Cuma, kita perlu menghormati kontraknya di Selangor dan mengambil kira kemampuan kewangan kelab.
“Kita tahu kualiti dan keupayaannya. Bukan mudah mendapatkan pemain seperti itu kerana nilainya juga tinggi,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, kelmarin.
Iswandi berkata demikian ketika mengulas spekulasi di media sosial berkaitan kemungkinan Moraes menyertai Kuching City susulan minat penyokong terhadap penyerang berusia 26 tahun itu.
“Soal pemain yang diidamkan terpulang kepada jurulatih Aidil. Tetapi secara peribadi, Moraes memang antara penyerang yang kita cari,” jelasnya.
Menurutnya, keperluan memperkukuh jentera serangan semakin dirasai selepas Ronald Ngah Wanja dan Ajdin Mujagic mengalami kecederaan akibat jadual perlawanan yang padat.
“Kita sebenarnya sudah mempunyai penyerang, cuma Ronald Wanja dan Ajdin Mujagic sedang mengalami kecederaan disebabkan terlalu banyak perlawanan.
“Saya berharap penyokong memahami keadaan ini. Kita sedang berusaha menambah baik pasukan untuk menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.
Untuk rekod, Moraes menyertai Selangor pada Julai 2025 dan masih mempunyai kontrak sehingga 30 Jun 2027, dengan anggaran nilai pasaran €900,000 (sekitar RM4.3 juta).
Penyerang berketinggian 1.83 meter itu membuktikan ketajamannya apabila menghasilkan 42 gol dalam 49 penampilan pada musim 2025/2026, selain merekodkan sembilan gol dan dua bantuan jaringan dalam enam perlawanan awal Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, Iswandi hanya menyatakan pandangan peribadinya mengenai Moraes tanpa mengesahkan sebarang rundingan atau tawaran rasmi Kuching City terhadap pemain berkenaan.




