ARTIKEL

Kes Serang Guru Guna Kapak: Pelajar 16 Tahun Dihadapkan Ke Mahkamah, Tiada Pengakuan Direkodkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang remaja lelaki yang mengamuk dan mencederakan guru menggunakan kapak dalam satu kejadian tular di media sosial 21 Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas tiga pertuduhan hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pesalah kanak-kanak berusia 16 tahun itu sebaik sahaja tiga pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

Mahkamah memerintahkan pelajar tingkatan empat itu dihantar ke Hospital Sentosa Kuching selama satu bulan bagi menjalani pemantauan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Selain itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 17 Disember depan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membawa sebilah kapak kecil ke dalam bilik darjah iaitu senjata berjadual Butiran 7 Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), dengan itu remaja terbabit telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah
Seksyen 7(1)(a) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama, kerana sengaja mencederakan seorang guru wanita berusia 42 tahun menggunakan sebilah kapak kecil.

Seksyen terbabit membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memiliki bahan letupan iaitu mercun dan bekas minuman yang diubah suai menjadi bahan letupan yang menimbulkan syak wasangka yang munasabah dalam milikannya yang sah.

Pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207) dan boleh dihukum di bawah akta terbabit, iaitu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah swasta di sini, sekitar 7.50 pagi, 21 Oktober lepas

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Raja Zaizul Faridah, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Nisla Abdul Latif dan DPP Abdurrahman Abrar.

Remaja terbabit diwakili Peguam Wejok Tomik.

Terdahulu, pada 21 Oktober lalu media melaporkan satu insiden yang tular di media sosial selepas rakaman kejadian seorang pelajar yang menyerang guru menggunakan kapak di dalam bilik darjah tersebar.

Akibat kejadian terbabit, guru wanita berkenaan mengalami kecederaan pada tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis turut memaklumkan bahawa seramai 38 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes.

BERITA LAIN

Uggah ngesah raban tasah angus

SPAOH: Betatika nasip 28 ruang bilik ke tasah angus ba Rumah Panjai Matop, Paku, Spaoh ngasuh Sapit Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke

BERITA TERBARU

Sakkok FC Timba Pengalaman Di Johor

KUCHING: Sakkok FC bangkit daripada kekalahan pada aksi pembukaan dengan membelasah J United FC 12-1 dalam perlawanan persahabatan kedua pada Jelajah Johor 2026 di Arena