ARTIKEL

Sakkok FC Timba Pengalaman Di Johor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sakkok FC bangkit daripada kekalahan pada aksi pembukaan dengan membelasah J United FC 12-1 dalam perlawanan persahabatan kedua pada Jelajah Johor 2026 di Arena Mutiara, Johor, semalam.

Kemenangan besar itu menjadi penutup manis buat pasukan dari Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa selepas tewas tipis 3-4 kepada Pantherz FC pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

Pengurus pasukan Sakkok FC, Mohamad Iskandar Azahaman berkata, keputusan positif itu melengkapkan objektif jelajah selama empat hari bermula 12 hingga 15 November bagi memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pemain muda kampung berkenaan.

“Jelajah ini bukan sekadar untuk mengadakan perlawanan persahabatan, tetapi juga memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada belia kampung kami.

Pasukan Sakkok FC dari Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, Kuching pada Jelajah Johor 2026.

“Kami berharap program ini dapat dijadikan acara tahunan kelab, selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain, pengurusan dan pasukan yang kami temui,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Mohamad Iskandar, kedua-dua perlawanan memberikan pengalaman berbeza kepada pemain, terutama dalam meningkatkan kerjasama, disiplin serta keyakinan ketika berdepan pasukan dari luar Sarawak.

Pada aksi pembukaan menentang Pantherz, Sakkok bermula cemerlang apabila mendahului 3-1 menerusi dua jaringan Mohd Syahmi dan satu gol Ahmad Yunus Nasar dalam tempoh 21 minit pertama.

Bagaimanapun, Pantherz berjaya bangkit pada separuh masa kedua dengan dua jaringan pada minit ke-48 dan ke-52 sebelum memperoleh gol kemenangan pada minit ke-75.

Kekalahan itu menjadi pengajaran kepada Sakkok kepentingan mengekalkan tumpuan dan disiplin pertahanan, khususnya ketika berada dalam kedudukan mendahului perlawanan.

Namun, pasukan berkenaan memperlihatkan kebangkitan pada aksi kedua apabila menewaskan J United 12-1 dalam perlawanan yang berlangsung pada 3 petang, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Sakkok menamatkan dua aksi persahabatan dengan rekod satu kemenangan dan satu kekalahan, selain menghasilkan 15 jaringan dan dibolosi lima kali.

Seramai 20 pemain dan anggota pengurusan menyertai jelajah berkenaan yang turut memberi peluang kepada belia kampung merasai pengalaman bermain dalam suasana berbeza serta membina hubungan dengan pasukan tempatan Johor.

Selain perlawanan persahabatan, rombongan Sakkok turut mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), bagi mengenali kemudahan bola sepak profesional.

Mohamad Iskandar berharap pengalaman sepanjang jelajah dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi pasukan, selain meneruskan usaha pembangunan bola sepak dalam kalangan belia Kampung Sinar Budi Baru.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja termasuk penyandang DUN Batu Kawa Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Supreme Consolidated Sdn. Bhd., Tay Motors, AHD Logistics dan Kafe Man Canai atas sokongan menjayakan Jelajah Johor 2026.

BERITA LAIN

49 Sebab Untuk Hantar Siaran Akhbar

Panduan Santai Untuk Usahawan Yang Mahu Bisnesnya Disebut-sebut Ramai pemilik bisnes kecil anggap siaran akhbar (press release) untuk syarikat gergasi yang ada jabatan komunikasi sendiri.

BERITA TERBARU

49 Sebab Untuk Hantar Siaran Akhbar

Panduan Santai Untuk Usahawan Yang Mahu Bisnesnya Disebut-sebut Ramai pemilik bisnes kecil anggap siaran akhbar (press release) untuk syarikat gergasi yang ada jabatan komunikasi sendiri.