KUCHING: Masyarakat digesa menjadikan amalan menghargai dan menyayangi golongan warga emas sebagai tanggungjawab berterusan, bukan sekadar ketika sambutan Hari Warga Emas.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad berkata, tanggungjawab menjaga kebajikan golongan itu bukan hanya terletak pada jabatan berkenaan dan institusi penjagaan warga emas, sebaliknya memerlukan sokongan serta kerjasama seluruh lapisan masyarakat.

Menurutnya, penganjuran Program Fun Walk Sempena Hari Warga Emas 2026 bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform untuk mengingatkan masyarakat bahawa golongan berkenaan perlu terus diraikan, dihargai dan diberikan perhatian.
“Janganlah kita hanya menghargai warga emas pada hari tertentu sahaja, sebaliknya jadikanlah kasih sayang, rasa hormat dan keprihatinan terhadap mereka sebagai amalan sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Fun Walk Sempena Hari Warga Emas 2026 di Dewan Serbaguna Rumah Seri Kenangan Kuching, Sabtu lalu.
Program berkenaan membawa tema “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni” dan dianjurkan oleh Rumah Seri Kenangan Kuching.
Semawi berkata, program itu turut bertujuan menggalakkan warga emas melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang bersesuaian, selain meningkatkan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial mereka.
Katanya, aktiviti seumpama itu juga mampu mewujudkan suasana ceria dalam kalangan warga emas, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara penghuni Rumah Seri Kenangan dengan masyarakat setempat.
“Justeru, tanggungjawab menjaga dan menghargai warga emas bukanlah terletak pada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Rumah Seri Kenangan sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkasakan kesejahteraan golongan warga emas.





