TEBEDU: Kerajaan Sarawak akan meneliti punca kebakaran Rumah Panjang Matop, Paku, Spaoh, selain merangka langkah penambahbaikan bagi mengelakkan tragedi sama berulang pada masa depan.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penelitian itu akan dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), khususnya dari aspek keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran rumah panjang.

Jelasnya, laporan daripada pihak bomba juga akan diperoleh bagi mengenal pasti kelemahan serta keperluan penambahbaikan dalam menangani kebakaran membabitkan rumah panjang yang mempunyai struktur binaan lama.
“Kita akan meneliti dan meminta laporan daripada bomba mengenai bagaimana kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi kebakaran seperti keadaan Rumah Panjang Matop,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Jalan Temong, Tepoi, Sadir Fasa 2 di Tapak Perasmian dan Dewan Kampung Temong Mawang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah menegaskan, kebakaran rumah panjang bukan perkara baharu, justeru pendekatan lebih menyeluruh perlu diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang sehingga mengakibatkan keseluruhan penempatan musnah.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah reka bentuk dan susun atur rumah panjang, termasuk cadangan penstrukturan semula bagi mengelakkan kebakaran yang bermula di sebuah keluarga daripada merebak ke seluruh bangunan.
Tambahnya, cadangan untuk merangka semula reka bentuk rumah panjang pernah dibangkitkan sebelum ini bagi meningkatkan tahap keselamatan penghuni sekiranya berlaku kebakaran.
Mengulas kejadian di Rumah Panjang Matop, Uggah berkata, kebakaran bermula di sebuah keluarga sebelum merebak ke seluruh rumah panjang dalam tempoh kira-kira sejam.
Katanya, penghuni keluarga terbabit tidak mempunyai keupayaan untuk memadamkan api pada peringkat awal, menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas sehingga meliputi keseluruhan rumah panjang.
Beliau memberitahu, usia rumah panjang berkenaan yang mencecah 85 tahun turut menjadi cabaran kerana bahan binaan kayunya sudah kering dan mudah terbakar.
“Rumah panjang yang kita maksudkan itu berusia 85 tahun. Jadi, boleh bayangkan bahan binaannya sudah sangat kering dan mudah terbakar. Itu cabarannya,” jelasnya.
Selain faktor usia bangunan, Uggah berkata, struktur rumah panjang berkenaan yang mempunyai bahagian setinggi hampir 50 kaki dari tanah juga perlu diambil kira dalam menilai keberkesanan operasi pemadaman kebakaran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemeriksaan jumlah penghuni dilakukan selepas kejadian bagi memastikan semua ahli keluarga dikenal pasti dan terselamat.
Katanya, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan Dewan Rentap, Betong sebagai pusat pemindahan sementara, penghuni memilih untuk tinggal bersama keluarga terdekat pada malam kejadian.
Menurut Uggah, bantuan kebajikan akan disalurkan bagi menyediakan penempatan sementara sebelum pembinaan rumah baharu dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang.
Beliau menegaskan, kerajaan GPS turut menyediakan bantuan sebanyak RM70,000 bagi setiap keluarga yang kehilangan rumah akibat kebakaran untuk membina kediaman baharu, dan penghuni Rumah Panjang Matop layak menerima bantuan berkenaan.
“Proses penyaluran bantuan itu akan disegerakan bagi membolehkan keluarga terjejas membina semula kediaman serta meneruskan kehidupan mereka,” ujarnya.




