KUCHING: Kerjasama dan tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan masyarakat penting dalam membentuk Sarawak yang lebih baik menjelang 2030, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Katanya, semangat tanggungjawab bersama itu turut dizahirkan menerusi Anugerah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) 2026 yang menghimpunkan PBT, jabatan kerajaan, rakan kerjasama serta masyarakat bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan negeri.
Menurutnya lagi, anugerah berkenaan mencerminkan semangat untuk berbakti demi Sarawak dan penerima sewajarnya berbangga dengan sumbangan masing-masing kepada negeri ini.
“Majlis ini bukan sekadar mengenai menerima anugerah atau wang kemenangan, sebaliknya mengenai kebanggaan untuk melakukan sesuatu demi negeri kerana Sarawak milik anda, milik saya dan milik kita bersama.
“Kita semua mempunyai peranan dan sumbangan masing-masing bagi memastikan Sarawak pada 2030 menjadi negeri yang berbeza, sekali gus membolehkan kita berbangga sebagai rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai menyempurnakan Majlis Anugerah MPHLG 2026 di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Dr Sim menambah, anugerah itu turut menjadi platform bagi memperlihatkan keupayaan Sarawak kepada seluruh Malaysia, khususnya dalam aspek tadbir urus kerajaan tempatan.
“Tahniah kepada semua pemenang serta semua pihak yang terlibat atas sumbangan dan peranan dalam pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, Dr Sim turut berkesempatan menyaksikan penyampaian anugerah kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang muncul juara bagi Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2026 (Kategori Pihak Berkuasa Tempatan) selepas berjaya mengumpul 107,627 kilogram bahan kitar semula, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,500.
Majlis Perbandaran Sibu menduduki tempat kedua dengan kutipan 96,847 kg dan menerima RM2,500, manakala Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di tempat ketiga dengan kutipan 96,428 kg serta hadiah RM1,500.
Bagi Anugerah Tandas Awam Terbaik 2026, Majlis Daerah Limbang memenangi kategori daerah, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi kategori perbandaran, manakala MBKS muncul pemenang kategori bandar.
Masing-masing pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Seterusnya, BDA turut meraih tempat pertama dalam Pertandingan Video Kreatif L.A Serve 2026 menerusi video bertajuk Kesiapsiagaan Demi Kemakmuran Rakyat, membawa pulang hadiah bernilai RM1,500.
Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menduduki tempat kedua menerusi video bertajuk Amalan Terbaik di Lapangan dengan hadiah RM1,000, manakala Majlis Daerah Sri Aman di tempat ketiga menerusi video Kesejahteraan Rakyat Keutamaan Kami dengan hadiah RM500.
Bagi Anugerah Perpustakaan Terbaik 2026, Perpustakaan Desa Oya di bawah Majlis Daerah Dalat dan Mukah memenangi kategori Perpustakaan Desa Terbaik dengan hadiah RM5,000.
Perpustakaan Awam Lundu di bawah Majlis Daerah Lundu pula memenangi kategori Perpustakaan Awam Terbaik dan turut menerima RM5,000.
Dalam Anugerah Komuniti Pintar 2026, Majlis Daerah Meradong dan Julau menerima anugerah emas berserta hadiah RM7,000.
Majlis Daerah Serian menerima anugerah perak dengan hadiah RM5,000, manakala Majlis Daerah Bau meraih anugerah gangsa.



