KUCHING: Kepimpinan dua anak muda berusia 23 tahun berjaya menarik kira-kira 4,000 pengunjung dan menghimpunkan 400 motosikal pada Perhimpunan Rakan Permotoran Saratok (SMMG) 2026 di Tapak Dewan Sri Krian, Saratok, baru-baru ini.
Pengerusi SMMG merangkap Pengerusi Kelab Permotoran Power Legacy, Mohamad Shahriel Hassim, berkata kejayaan program pada 7 dan 8 November lalu membuktikan golongan belia mampu mengendalikan acara berskala besar apabila diberikan kepercayaan dan peluang.

“Penganjuran ini bukan sekadar perhimpunan motosikal, tetapi menjadi bukti bahawa anak muda mempunyai kemampuan untuk memimpin, merancang, mengurus dan merealisasikan sesuatu idea menjadi kenyataan.
“Kami mungkin masih muda dari segi usia, tetapi itu bukan penghalang untuk menggalas tanggungjawab besar dan membuktikan kemampuan membawa perubahan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Shahriel, kejayaan penganjuran itu turut didorong kerjasama timbalannya, Nur Hafiz Abdullah, yang juga berusia 23 tahun, bersama barisan jawatankuasa serta komuniti permotoran.
Beliau berkata, pengalaman mengendalikan program berkenaan memberikan pendedahan berharga kepada golongan belia, khususnya dalam aspek kepimpinan, pengurusan acara dan penyelarasan pelbagai pihak.

“Jangan sesekali memandang rendah kemampuan seseorang hanya kerana faktor usia. Kematangan kepimpinan bukan semata-mata diukur melalui umur, tetapi melalui tindakan, tanggungjawab dan hasil kerja.
“Belia bukan sekadar golongan yang perlu dibimbing, sebaliknya perlu diberikan ruang dan peluang untuk mengetengahkan idea serta membuktikan kebolehan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahriel menyifatkan sambutan kira-kira 4,000 pengunjung dan penyertaan 400 motosikal sebagai pencapaian memberangsangkan yang memperlihatkan sokongan komuniti terhadap aktiviti permotoran di Saratok.
Katanya, penganjuran selama dua hari itu turut menjadi medan pertemuan peminat dan kelab motosikal, selain membuka peluang kepada peniaga serta pengusaha tempatan mengambil bahagian.

Beliau berharap kejayaan SMMG 2026 menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk tampil memimpin, mencuba pendekatan baharu dan menyumbang kepada pembangunan komuniti masing-masing.
“Kepimpinan belia bukan sekadar slogan dan idea mereka bukan sekadar perbincangan. Kedua-duanya perlu diberikan ruang untuk dibuktikan melalui tindakan. Berikan belia peluang kerana daripada peluang itulah lahirnya pemimpin masa hadapan,” tegasnya.
Shahriel turut merakamkan penghargaan kepada semua kelab permotoran, peserta, peniaga, penaja, petugas dan masyarakat setempat atas sokongan sehingga SMMG 2026 berjaya dilaksanakan.





