ARTIKEL

Nanta (kanan) dan Hamzah (kiri) bersalaman ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang (Reka dan Bina). FOTO RAMIDI SUBARI

Nanta puji komitmen Hamzah, wajar diberi peluang berkhidmat lagi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Keprihatinan dan komitmen wakil rakyat dalam memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing mampu memastikan setiap projek kerajaan berjalan lancar serta mencapai matlamat yang ditetapkan demi manfaat rakyat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, wakil rakyat yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan pembangunan kawasan masing-masing juga wajar diberi peluang untuk terus berkhidmat.

Mengambil contoh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, beliau menyifatkannya sebagai wakil rakyat yang rajin, prihatin dan bertanggungjawab.

“Setiap kali ada peluang, termasuk ketika menghadiri program parti, beliau pasti akan berbisik (bertanya) kepada saya mengenai projek yang dilaksanakan di kawasannya. Beliau sentiasa prihatin dan inilah wakil rakyat yang sangat bertanggungjawab.

“Kita memerlukan wakil rakyat seperti ini, yang bukan sahaja rajin, tetapi turut memahami secara menyeluruh pelaksanaan sesuatu projek termasuk matlamat dan manfaat yang ingin dicapai menerusi projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang (Reka dan Bina) di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa isyarat awal Hamzah antara calon yang dikekalkan bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 menunjukkan keyakinan kepimpinan parti terhadap kemampuan serta pencapaiannya.

Menurutnya, pemilihan seseorang calon dibuat berdasarkan beberapa kriteria dan rekod pencapaian yang dinilai oleh pucuk pimpinan parti.

“Jadi, apabila pucuk pimpinan parti menunjukkan keyakinan penuh terhadap beliau, sudah tentulah ada kriteria dan senarai semak pencapaian yang diambil kira sebelum seseorang itu dipilih. Walaupun masih ramai calon yang belum diumumkan, Hamzah merupakan antara yang diberikan isyarat awal.

“Ini menunjukkan keyakinan terhadap beliau. Sebagai rakan seperjuangan dalam politik, saya juga berpendapat seperti yang dinyatakan dalam ucapan tadi, Hamzah wajar diberikan peluang sekali lagi untuk terus berkhidmat,” ujarnya.

Untuk rekod, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvoi Bermotosikal Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Serbaguna Kampung Matang Batu 10, Kuching sebelum ini, memberi bayangan bahawa empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan dikekalkan sebagai calon bagi mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU Sarawak Ke-13.

Selain Hamzah, tiga lagi ialah penyandang kerusi DUN Satok, Datuk Ibrahim Baki; penyandang kerusi DUN Kedup, Datuk Martin Ben; serta penyandang kerusi DUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU