PADAWAN: Dua projek pembangunan bernilai RM10 juta dilaksanakan menerusi dana Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), melibatkan pembinaan sistem pam penggalak air serta penaiktarafan prasarana ekopelancongan di Kampung Pesang, di sini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembinaan sistem pam penggalak air bernilai RM5 juta yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu akan membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan Teng Bukap, Kampung Pesang, Kampung Begu dan Kampung Tatuk.
Katanya, penduduk sekitar selama ini bergantung harap kepada bekalan air graviti sementara projek yang diharapkan sebelum ini seharusnya dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 10 tahun yang lalu.
“Projek ini sepatutnya dibawah KKDW yang 10 tahun telah ditender. Saya tidak paham macam mana KKDW buat, sampai sekarang belum (laksanakan).

“Jadi kita tidak dapat tunggu sebab bila musim kemarau ada kampung tiada air. Jadi kita ingin mempermudahkan masalah, menggunakan dana yang ada, dapatkan dana dari GKCDA. Oleh itu keseluruhan projek ini menelan belanja kira-kira RM5 juta dan kita berharap dapat melaksanakan beberapa lagi projek selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan simbolik pecah tanah projek GKCDA DUN Tarat, di sini hari ini.
Sagah yang juga Pengerusi GKCDA dan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menjelaskan, ketika di bawah pelaksanaan KKDW, projek itu sebelum ini telah melalui pelbagai proses tender yang sepatutnya dianugerahkan dalam tempoh tiga bulan.
“Namun, anda tahu apa yang berlaku di peringkat Persekutuan ketika itu, termasuk pergolakan politik, pertukaran kerajaan dan sebagainya. Itulah yang berlaku sehingga akhirnya rakyat menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini terdapat tujuh buah kampung yang masih bergantung kepada sistem bekalan air graviti di sepanjang laluan jalan penghubung Padawan-Tebedu dan usaha sedang dilaksanakan bagi menangani masalah berkenaan.
Dalam perkembangan sama, projek menaik taraf prasarana ekopelancongan di Pesang River Lodge bernilai RM5 juta turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan pelancongan serta memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat.
Sagah berkata, inisiatif itu mengambil kira usaha penduduk kampung yang telah memulakan aktiviti ekopelancongan secara sendiri sehingga berjaya menjana pendapatan kepada komuniti setempat.
“Penduduk kampung sudah memulakan inisiatif sendiri dan mereka sudah memperoleh sedikit pendapatan untuk kampung.
“Kemudahan sedia ada mungkin masih asas, tetapi kita mahu menaik tarafnya. Paling penting, kita mahu memastikan sungai di sini terus bersih,” katanya.
Beliau berkata, kampung berkenaan turut mencatat kejayaan apabila muncul johan Pertandingan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) sempena sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Johor Bahru.
Menurutnya, projek menaik taraf prasarana berkenaan dijangka siap dalam tempoh setahun berdasarkan komitmen yang diberikan oleh pihak perunding dan kontraktor.
Mengulas mengenai pembangunan kawasan Teng Bukap pula, Sagah berkata, tiada pelan induk untuk pembangunan di kawasan tersebut.
Malah katanya, terdapat sebilangan tanah milik penduduk setempat sementara sebahagiannya milik gereja.
Bagaimanapun, beliau berkata, kawasan itu akan dibangunkan secara berasingan menerusi pelbagai agensi seperti Majlis Daerah Siburan, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Yayasan Sarawak, Centexs dan Jabatan Pertanian.




