KUCHING: Seorang pemandu lelaki berusia 27 tahun cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori berhampiran sekolah rendah di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, pagi tadi.
Mangsa tersepit di bahagian pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat hidraulik.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.29 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian tiba di lokasi pada 9.47 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dengan sebuah lori.
Operasi menyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Zaidel Zalani itu melibatkan enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Operasi terkawal pada 9.50 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 10.20 pagi.
Turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan KKM.




