PADAWAN: Pengundi di Sarawak diseru terus memberikan sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan negeri.
Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, rakyat perlu menilai pencapaian kerajaan GPS, khususnya peningkatan hasil negeri serta pelbagai usaha pembangunan yang telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Katanya, kestabilan pentadbiran sedia ada perlu dikekalkan berbanding mengambil risiko menukar kerajaan kepada pihak yang belum tentu mampu merealisasikan janji pembangunan mereka.
“Nasihat saya kepada pengundi adalah supaya terus bersama kerajaan GPS. Apabila keadaan sudah baik, mengapa perlu berpaling tadah? Anda sendiri telah melihat sejauh mana GPS berusaha membangunkan Sarawak dan bagaimana hasil negeri kita semakin meningkat.
“Mengapa perlu meninggalkan kestabilan ini? Mengapa perlu merobohkan rumah yang sudah baik semata-mata untuk membina rumah baharu sedangkan belum pasti rumah baharu itu dapat dibina?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menghadiri majlis pecah tanah projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) DUN Tarat di Kampung Pesang, di sini hari ini.
Sagah berkata, beliau telah mendengar pelbagai janji kosong mengenai pembinaan “rumah baharu” sejak sekian lama, namun sehingga kini tiada hasil yang dapat dibuktikan oleh pihak yang mengemukakan kritikan berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Tarat pada pilihan raya akan datang, beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa dirinya sentiasa bersedia sekiranya diberikan kepercayaan untuk terus mewakili kawasan berkenaan.
“Saya tidak boleh mengatakan perkara itu sudah pasti. Tetapi jika ditanya sama ada saya bersedia, saya sentiasa bersedia!” katanya.


