MUKAH: SK Kampung Petanak, Mukah sekali lagi melakar kejayaan membanggakan apabila inovasi digital READ+ Your Reading Buddy berjaya meraih pingat perak dalam pertandingan inovasi sempena International Conference on Future Education (ICFE) 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 5 November lalu di Klang, Selangor.
Inovasi hasil usaha kreatif dua guru SK Kampung Petanak, iaitu Anis Afifah Shahiri dan Nur Safawanie Mohd Syahril, berjaya mencipta pencapaian membanggakan dalam pertandingan anjuran IPGM tersebut.
Menurut kenyataan, pertandingan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 164 projek inovasi bagi kategori terbuka, dengan hanya 61 projek berjaya memperoleh pengiktirafan pingat perak. Kejayaan ini membuktikan kemampuan warga pendidik sekolah luar bandar untuk menghasilkan inovasi pendidikan yang berpotensi diketengahkan pada peringkat lebih tinggi.


READ+ merupakan inovasi pembelajaran digital yang dibangunkan bagi meningkatkan minat membaca, memperkukuh kemahiran literasi serta menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan murid melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan.
Melalui penggunaan teknologi digital, inovasi ini membolehkan murid melaksanakan aktiviti pembacaan mengikut tahap penguasaan masing-masing dan membantu guru memantau perkembangan pembelajaran secara lebih sistematik.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama SK Kampung Petanak dan daerah Mukah, malah menjadi bukti bahawa keterbatasan lokasi bukan penghalang kepada penghasilan inovasi pendidikan yang berkualiti.
Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada warga sekolah untuk terus membudayakan kreativiti, meneroka teknologi baharu dan memperkasakan pendidikan digital demi melahirkan generasi yang berdaya saing.




