SIMANGGANG: Di sebalik penyerahan 21 pasang kaki palsu, terserlah harapan baharu buat penerima untuk kembali melangkah, menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa serta membina keyakinan diri.
Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, Tay Cho Seng, berkata kejayaan menyediakan bantuan berkenaan tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kemurahan hati para penaja, penderma, ahli pertubuhan serta masyarakat setempat.
Katanya, kos penyediaan kaki palsu yang dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 bukanlah kecil, sekali gus boleh membebankan golongan kurang berkemampuan dan keluarga mereka.
“Namun, menerusi sumbangan yang berjaya dikumpulkan, kita dapat membantu meringankan beban kewangan penerima dan keluarga mereka.
“Semangat kebajikan ini sentiasa menjadi pegangan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor kerana kita percaya kerja-kerja amal tidak mengenal batas kaum, agama mahupun latar belakang.
“Selagi ada golongan yang memerlukan, selagi itulah kita perlu berusaha membantu mengikut kemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Anggota Prostetik Percuma Zon Selatan Sarawak yang dirasmikan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie.
Jelasnya, selain bantuan anggota prostetik, pertubuhan itu turut melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang tahun, termasuk menyediakan perkhidmatan pinjaman katil pesakit dan kerusi roda, bantuan keperluan asas serta menganjurkan program kesihatan dan pemeriksaan perubatan.
Katanya, segala usaha berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan hasil sokongan dan kerjasama wakil rakyat, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta sukarelawan.
“Justeru, saya percaya melalui kerjasama erat semua pihak, lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu dan menikmati manfaat secara langsung daripada inisiatif kebajikan seperti ini,” ujarnya.
Tay turut menyifatkan program pemasangan dan penyerahan anggota prostetik percuma kali ini sebagai istimewa kerana ia hasil kerjasama julung kali antara Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman dengan beberapa pertubuhan seumpamanya di kawasan berdekatan.
Antaranya ialah Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hui Khor yang banyak memberikan bimbingan, berkongsi pengalaman serta menghulurkan bantuan sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Ming Ya Shan Ge dari Jakarta, Indonesia, Kwan Ren Sheng, bersama seluruh pasukannya yang sanggup merentasi sempadan negara untuk hadir ke Sarawak bagi membantu masyarakat yang memerlukan anggota prostetik.
“Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, kita berkongsi matlamat yang sama, iaitu membantu mereka yang memerlukan agar dapat kembali berdiri, bergerak dengan lebih selesa dan menjalani kehidupan dengan lebih yakin,” tegasnya.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, dan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Kaunselor Anthony Abell, turut hadir.




