MIRI: Seorang lelaki berusia 57 tahun dikhuatiri hilang ketika keluar memancing di Sungai Tinjar berhampiran sebuah rumah panjang di Ulu Long Selapun, Miri, sejak 12 November lalu.
Mangsa, Remyson Gelang, dilaporkan keluar dari rumah untuk memancing, namun tidak pulang sehingga kira-kira 7 malam pada hari kejadian.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kehilangan mangsa dimaklumkan kepada pengadu, Hendry Jeman, oleh adiknya, Leni Yusuf.
Susulan laporan polis yang dibuat, JBPM menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.04 malam, 15 November.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari pertama hari ini dengan penglibatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng.
Pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian pada 11.30 pagi menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Bagaimanapun, perjalanan ke Long Sengung berdepan kesukaran berikutan keadaan jalan yang hanya sesuai dilalui kenderaan pacuan empat roda serta perlu melalui laluan balak.
Operasi SAR turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


