ARTIKEL

GPS nilai kesiapsiagaan 13 jawatankuasa hadapi PRU Sarawak Ke-13

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TEBEDU: Persiapan jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bakal dinilai menerusi mesyuarat kedua Jawatankuasa Pilihan Raya GPS pada 18 November ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat itu penting bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai tahap kesiapsiagaan 13 jawatankuasa yang telah ditubuhkan bagi menyelaras gerak kerja pilihan raya gabungan berkenaan.

“Setiap jawatankuasa dijangka membentangkan perkembangan persiapan masing-masing, termasuk pembentukan jawatankuasa kecil serta perancangan bagi melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

“Saya yakin mereka telah pun bersedia dan menubuhkan jawatankuasa kecil masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Jalan Temong, Tepoi, Sadir Fasa 2 di Tapak Perasmian dan Dewan Kampung Temong Mawang, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menambah, laporan daripada semua jawatankuasa itu akan menjadi asas untuk menilai kesiapsiagaan GPS, sebelum perkembangan berkenaan dimaklumkan kepada Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden PBB.

“Pada 18 November petang, kita akan mendengar laporan dan kemudian kita akan lapor kepada Yang Amat Berhormat Premier mengenai kesiapsiagaan jentera GPS,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu penilaian itu bukan sahaja melibatkan persediaan di ibu pejabat, malah turut merangkumi gerak kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pada 4 November lalu, GPS menubuhkan 13 jawatankuasa khusus bagi menyelaras dan memperkukuh persiapan menghadapi PRU Sarawak Ke-13.

Uggah berkata, penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB yang dipengerusikan Abang Johari di Ibu Pejabat PBB.

Jelas beliau, 13 jawatankuasa berkenaan merangkumi bidang sekretariat, projek dan manifesto, perisikan, lawatan VVIP, logistik dan udara, kewangan, keselamatan serta perundangan.

Uggah yang mengesahkan pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya GPS berkata, jawatankuasa berkenaan turut melibatkan presiden parti komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

BERITA LAIN

49 Sebab Untuk Hantar Siaran Akhbar

Panduan Santai Untuk Usahawan Yang Mahu Bisnesnya Disebut-sebut Ramai pemilik bisnes kecil anggap siaran akhbar (press release) untuk syarikat gergasi yang ada jabatan komunikasi sendiri.

BERITA TERBARU