DARO: Pembangunan jaringan jalan raya, pelancongan, perumahan moden dan ekonomi hijau yang sedang dirancang Kerajaan Sarawak bakal mentransformasikan Daro sebagai hab pelancongan serta pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Lembah Rajang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan Daro akan diperkukuhkan menerusi jaringan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kawasan itu dengan Tanjung Manis, Sibu serta Kuching.

“Tentunya dengan jaringan jalan raya dan jambatan, ia akan mempercepat pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi.
“Apabila keseluruhan rangkaian jalan raya itu siap kelak, perjalanan dari Kuching ke Daro dijangka hanya mengambil masa kira-kira tiga jam, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada sektor pelancongan dan perdagangan tempatan.
“Daro tidak lagi jauh kerana dengan adanya hubungan jalan raya lengkap, lebih ramai pelancong akan datang dan ekonomi penduduk akan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro di Tapak Pesta Daro 2026 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa kawasan pesisir Daro hingga Tanjung Manis dikenal pasti sebagai koridor pembangunan pelancongan baharu yang merangkumi resort, padang golf serta pelbagai tarikan berasaskan alam semula jadi.
Jelasnya, pembangunan itu dilaksanakan seiring dengan usaha memelihara kawasan hutan bakau yang bernilai tinggi dalam perdagangan karbon, sekali gus menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai sumber ekonomi baharu kepada rakyat.
“Hasil daripada perdagangan karbon itu berpotensi disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan serta peningkatan kemudahan asas,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu bahawa pembinaan rumah mampu milik di Daro akan diteruskan oleh kerajaan dengan subsidi infrastruktur ditanggung sepenuhnya bagi mengurangkan harga jualan kepada rakyat.
“Rumah itu kelak akan dilengkapi dengan sistem solar di atas bumbung bagi membantu pemilik mengurangkan bil elektrik.
“Bukan itu sahaja, lebihan tenaga yang dijana boleh dijual semula kepada syarikat utiliti sebagai sumber pendapatan tambahan,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut menegaskan penyediaan kemudahan pendidikan universiti percuma kepada anak Sarawak.
Ujarnya, kemudahan itu memastikan lebih ramai belia di Daro berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tanpa dibebani masalah kewangan.
Pada masa sama, beliau menggesa generasi muda di kawasan itu agar menguasai bidang sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, langkah itu bagi memenuhi keperluan tenaga mahir Sarawak menjelang tahun 2030.
“Segala pembangunan yang dirancang di Daro hanya dapat direalisasikan sekiranya perpaduan rakyat terus dipelihara dan kestabilan politik dikekalkan.
“Ini kerana dengan adanya perpaduan dan kestabilan politik, kerajaan dapat meneruskan agenda pembangunan demi manfaat generasi akan datang,” katanya.



