KUCHING: Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) terus komited memperkasakan syiar Islam melalui Program Khidmat Masyarakat yang berlangsung dengan jayanya di Bumi Kenyalang baru-baru ini.
Program yang melibatkan kolaborasi strategik antara Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ Matang, Sarawak dengan PRK Darussyifa’ Cheras yang diamanahkan oleh Darussyifa’ Malaysia menjadi platform penting dalam menyebarluaskan kefahaman kepada masyarakat Sarawak mengenai Kaedah Rawatan Islam Darussyifa’ yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din.


Tirai program dibuka pada Jumaat lepas bertempat di Masjid Darul Iman, Kampung Sri Arjuna.
Dengan kerjasama Mohd. Ratno Sunarti, Pengerusi Masjid Darul Iman Kampung Sri Arjuna, program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti sesi taklimat metodologi perubatan Islam Darussyifa’ yang disampaikan oleh Ustaz Salleh Hasan, Ketua Lajnah Rawatan Darussyifa’ Malaysia.
Selain sesi taklimat, penduduk dan masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat rawatan Islam secara percuma serta mengunjungi reruai pameran yang disediakan bagi memberi pendedahan tentang amalan perubatan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Hari kedua misi diteruskan dengan kerjasama Adha Mahli, Pengerusi Masjid Darul Makmur Serian serta sokongan masyarakat setempat.


Program di daerah tersebut bukan sekadar memfokuskan taklimat dan rawatan, malah turut diserikan dengan aktiviti Ziarah Mahabbah.
Program ziarah ini bertujuan menyantuni penduduk Islam di sekitar daerah Serian bagi mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama saudara seakidah, sekali gus membuktikan keprihatinan Darussyifa’ terhadap kebajikan ummah secara holistik.


Misi ini diketuai oleh Ustaz Salleh dan diiringi Ustaz Mohd. Aizat Che’ Romli selaku Pengurus PRK Darussyifa’ Matang serta delegasi perawat-perawat dari Semenanjung dan PRK Matang.
Program turut disokong oleh 14 orang perawat dari pelbagai latar belakang yang memberikan khidmat bakti kepada penduduk setempat.
Menurut Ustaz Salleh, sinergi antara PRK Cheras dan PRK Matang merupakan langkah proaktif bagi memastikan standard kualiti rawatan Darussyifa’ dapat dirasai masyarakat di seluruh negara tanpa mengira sempadan geografi.


“Kami berharap usaha ini dapat memberi impak besar dalam mendidik masyarakat agar memilih rawatan yang bertepatan dengan syariat Islam, di samping membina jambatan kasih sayang melalui aktiviti kebajikan,” katanya.
Kejayaan program ini mencerminkan dedikasi berterusan Darussyifa’ dalam memperjuangkan kesejahteraan fizikal dan rohani masyarakat selaras dengan misi dan visi persatuan.



