KEUPAYAAN penyerang Liverpool, Darwin Nunez, selalu dibahaskan di Anfield tetapi beliau sering bejaya menghasilkan jaringan bagi kelab Merseyside itu.
Ketika membahaskan kekalahan 3-0 Liverpool di tempat sendiri kepada Atalanta dua hari lalu, wartawan portal akhbar The Athletic, James Pearce, menulis bahawa beliau percaya penyerang Uruguay itu sudah ‘hilang arah’ sejak beberapa tahun lalu.
Buat kali kedua dalam tempoh seminggu, Nunez telah diganti walaupun pasukannya ketinggalan, sesuatu yang selalunya membimbangkan bagi seorang penyerang.
Bekas pemain Benfica itu mensia-siakan beberapa peluang ketika menentang Atalanta, dan Pearce mendakwa Liverpool hilang tumpuan apabila Nunez berada di atas padang.
Jika dilihat pada statistik, Nunez menikmati musim yang mengagumkan di hadapan gawang, bukan hanya kerana jaringannya tetapi juga kreativitinya.
Walaupun demikian, ada yang mendakwa pemain berusia 24 tahun itu menghadapi kesukaran apabila bermain dalam perlawanan yang lebih penting.
Beberapa gol terakhirnya dijaringkannya dalam perlawanan menentang Sheffield United, Sparta Prague, Nottingham Forest dan Brentford.
Dengan Liverpool yang memerlukan jaringan dalam perlawanan menenyang Atalanta, ia adalah keadaan yang membimbangkan bagi Nunez kerana Klopp merasakan mereka ada peluang yang lebih baik untuk kembali ke dalam perlawanan tanpa Nunez di atas padang.
Pemain yang menerima gaji 140,000 pound (RM826,000) seminggu itu juga telah dikeluarkan dalam perlawanan menentang Manchester United ketika pasukan ‘Red Devils’ mendahului.
Pearce turut mengkritik barisan pemain tengah Liverpool, Wataru Endo, Alexis Mac Allister, Dominik Szoboszlai dan Curtis Jones, yang Pearce dakwa ‘dibuli’ di tengah padang.
Menurut Pearce, pasukan ‘The Reds’ telah mempamerkan prestasi yang buruk sama sekali.

