KUCHING: Penurunan kuasa autonomi pendidikan perlu diberikan kepada Sarawak supaya dasar pendidikan sedia ada yang baik masih boleh digunakan di negeri ini meskipun pertukaran pentadbiran kerajaan berlaku.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ia susulan disebabkan penukaran kerajaan termasuk portfolio Menteri Pendidikan Malaysia menyebabkan dasar pendidikan turut berubah.
“Perubahan dasar pendidikan ini akan memberi kesan negatif kepada pembangunan pendidikan di Sarawak susulan ketidakstabilan politik negara termasuk apabila penukaran menteri bertanggungjawab dalam portfolio pendidikan, sudah tentu dasar dan polisi pendidikan juga turut berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog TVS : Dasar pendidikan Sarawak seiring pembangunan bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee yang disiarkan di laman Facebook TVS pada malam tadi.
Disebabkan itu jelas Dr Annuar, sekiranya penurunan kuasa autonomi diberikan kepada Kerajaan Sarawak, segala dasar pendidikan yang baik dan memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan dapat dikekalkan.
“Ini kerana hakikatnya, banyak dasar-dasar pendidikan yang dilaksanakan perlu merujuk kepada Kerajaan Sarawak terlebih dahulu disebabkan keperluan; kepentingan; geografi yang berbeza memerlukan faktor-faktor itu harus diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Autonomi pendidikan harus dikembalikan kepada Sarawak kerana ia terkandung di dalam 18 perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia jelas disebut dalam perenggan ke14 MA63 menunjukkan bahawa separuh dasar pendidikan negara mesti di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
“Dalam Perenggan 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 juga jelas menunjukkan dasar pendidikan sedia ada tidak boleh diubah kecuali atas persetujuan Kerajaan Sarawak termasuk dasar-dasar pendidikan baharu pula mesti mendapatkan persetujuan daripada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau lagi, meskipun pendidikan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekituan dari segi Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga perlu diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan perkara terbaik untuk negeri ini.


