KUALA LUMPUR: Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif mula berkuat kuasa hari ini sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan HBH merupakan langkah kalis masa hadapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal utuh dalam mendepani perubahan global dan evolusi cara kerja moden tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat seperti dilapor Bernama.
Mengikut Garis Panduan Pelaksanaan HBH, bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Ahad, kehadiran wajib di pejabat ditetapkan pada Isnin dan Jumaat, manakala bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu pula pada Ahad serta Khamis.
Satu lagi hari kehadiran fizikal ditentukan Ketua Jabatan, manakala baki dua hari diperuntukkan untuk bekerja dari rumah mengikut kesesuaian tugas dan syarat yang ditetapkan.
Melalui dasar itu, pegawai yang layak tidak lagi perlu mengemukakan permohonan untuk bekerja secara hibrid kerana ia menjadi sebahagian daripada skim kerja tetap.
Ketua Jabatan mempunyai kuasa menentukan kelayakan pegawai, termasuk mengarahkan mereka hadir ke pejabat pada hari BDR atau menarik balik kelayakan sekiranya syarat tidak dipatuhi.
Bagaimanapun, HBH tidak melibatkan perkhidmatan penting yang memerlukan kehadiran fizikal sepenuhnya seperti petugas kaunter, pasukan keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.
Bagi memastikan produktiviti, pencapaian kerja dan kehadiran pegawai akan dipantau menerusi sistem SPOT-Me, selain pegawai diwajibkan mematuhi Akta Rahsia Rasmi 1972 serta sentiasa boleh dihubungi dan bersedia hadir ke pejabat apabila diarahkan.


