ARTIKEL

Datuk Seri Bo’ Tajang Laing menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun. GAMBAR: FACEBOOK LOHONG TAJANG

Datuk Seri Bo’ Tajang Meninggal Dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kehilangan figura negarawan yang memperjuangkan kemerdekaan negeri dan pembangunan luar bandar iaitu mantan menteri negeri Datuk Seri Bo’ Tajang Laing yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.

Pemergian mendiang yang juga mantan ADUN Belaga itu dikongsikan oleh anaknya, Lohong Tajang, menerusi hantaran di Facebook tengah malam tadi.

Pele Peter Tinggom bersama-sama mendiang Tajang. GAMBAR: FACEBOOK LOHONG TAJANG

“Malam ini, kami kehilangan ayah yang amat kami kasihi. Terima kasih atas kehidupan yang penuh keikhlasan dan jasa buat keluarga serta masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom, yang juga cucu saudara mendiang, menyifatkan mendiang sebagai antara tokoh penting dalam sejarah politik awal Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

“Beliau dikenali sebagai antara ahli Jemaah Menteri Kabinet Sarawak yang terawal pada 1963 dan terus berkhidmat sebagai menteri sepanjang era 1960-an serta 1970-an.

“Sumbangan mendiang mencerminkan peranan pemimpin generasi awal yang membantu membina asas pentadbiran moden Sarawak dalam bidang pembangunan luar bandar, perpaduan masyarakat pelbagai kaum, dan pengukuhan institusi kerajaan negeri.

“Tokoh seperti Tajang wajar dikenang sebagai perintis yang membawa suara rakyat pedalaman dan luar bandar ke peringkat tertinggi pentadbiran negeri,” ujarnya.

Dilahirkan pada 14 Februari 1926, Tajang dibesarkan di kawasan pedalaman Sarawak dengan sungai sebagai laluan utama pengangkutan dan akses kepada pendidikan serta perkhidmatan kesihatan yang terhad.

Latar kehidupan tersebut membentuk pegangan hidupnya bahawa pendidikan merupakan kunci utama untuk mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.

Memulakan kerjaya sebagai guru, beliau menyaksikan sendiri kesukaran kanak-kanak mendapatkan pendidikan sehingga ada yang terpaksa berjalan jauh atau tercicir daripada persekolahan.

Dorongan pemimpin masyarakat kemudian membawa beliau menceburi bidang politik bagi mewakili kepentingan komuniti Orang Ulu.

Perjalanan tersebut menyaksikan beliau dilantik sebagai menteri negeri dalam Kabinet pertama Sarawak di bawah Ketua Menteri Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, selain menjadi individu pertama daripada komuniti Orang Ulu yang dilantik sebagai menteri penuh.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau terus memperjuangkan pembangunan luar bandar, khususnya dalam memperluas akses pendidikan serta merapatkan jurang pembangunan di antara bandar dengan pedalaman.

Terdahulu, pada 14 Februari 2026, mendiang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 bersama-sama ahli keluarga, rakan serta wakil komuniti yang hadir menghargai sumbangannya selama ini.

Sepanjang hayatnya, negarawan itu menerima pelbagai pengiktirafan sebagai tanda menghargai jasanya.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar dalam sejarah negeri, meninggalkan legasi kepimpinan yang berteraskan khidmat bakti, kerendahan hati serta komitmen tidak berbelah bahagi kepada rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU