Datus United optimis juara

PENDATANG baharu, Datus United optimis untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Liga Sri Aman 2021.

Pengurus pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yakin dengan keupayaan para pemain yang dibarisi muka baharu dan berpengalaman.

“Memang menjadi impian kami untuk bergelar juara walaupun ini merupakan penyertaan sulung kami,” ujarnya.

Datus United diperkuatkan tiga bekas pemain kelab Kuching FA, seperti Paul Sambang, Remenor Pit, Affyshahrul Effendi serta bekas pemain Sarawak, Mohd. Hafiz Abu Bakar dan Morris Nyalu.

Malah mereka juga dibarisi beberapa bekas pemain skuad Piala Presiden.

PENGURUS Datus United, Awang Putrayusrie

Menurut Awang Putrayusrie, mengambil kira prestasi semasa, tiada masalah untuk pasukannya merealisasi impian bergelar juara.

Saingan Liga Sri Aman 2021 baru sahaja melepasi dua perlawanan setakat ini dan menyaksikan Datus United gah mengungguli kedudukan teratas Kumpulan B dengan dua kemenangan.

“Saya amat berharap pemain dapat mengekal momentum bagi memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya,” ujar beliau.

Aksi Liga Sri Aman 2021 terhenti seketika selepas arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jika mengikut perancangan jawatankuasa penganjur, saingan akan kembali diteruskan hujung minggu ini.

Akan tetapi segalanya bergantung kepada perkembangan situasi semasa pandemik Covid-19.

Petang semalam, Datus United mengatasi kelab Holdfast FC 5-4 dalam aksi persahabatan di Padang Taman Sourabaya Kuching.

Suara Sarawak