KUCHING: Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam daya saing global apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia berdasarkan Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu merupakan antara yang terbaik bagi negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura.
Menurutnya, peningkatan berkenaan turut mencerminkan hasil usaha agresif kerajaan menggerakkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), khususnya menerusi inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Mesyuarat Pasukan Khas Reformasi Agensi (STAR).
“Di peringkat global, pelabur antarabangsa menuntut ketelusan dan akauntabiliti sebagai prasyarat utama pelaburan.
“Suka untuk saya berkongsi bahawa usaha agresif kita menggerakkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, khususnya menerusi inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi di bawah Mesyuarat Pasukan Khas Reformasi Agensi, telah mula menunjukkan hasil,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti 2026 (HIS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, dari aspek kecekapan kerajaan, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-14, manakala kecekapan perniagaan pula meningkat 16 anak tangga ke kedudukan ke-16.
Tambahnya, indikator birokrasi Malaysia turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berada pada kedudukan keenam dunia.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 447 projek RKB telah disiapkan setakat ini dengan anggaran penjimatan kos pematuhan berjumlah RM2.95 bilion.
“Seterusnya, kita menyasarkan untuk mencapai 500 projek RKB dengan penjimatan RM2.5 bilion,” katanya.
Shamsul Azri berkata, peningkatan turut direkodkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International apabila skor Malaysia meningkat kepada 52 daripada 100, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan ke-54 daripada 182 negara berbanding kedudukan ke-57 sebelum ini.
Beliau berkata, usaha memperkukuh integriti turut dilaksanakan Institut Integriti Malaysia (IIM) menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi merapatkan jurang antara kefahaman teori dengan amalan integriti sebenar.
Antaranya ialah Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 13 Jun 2026 sebagai kesinambungan kepada Pelan Integriti Nasional (PIN) 2004.
Menurutnya, NIES berpaksikan falsafah Rukun Negara, khususnya prinsip Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan sebagai kerangka moral yang merentas sektor awam, swasta dan masyarakat.
Selain itu, Sijil Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang diperkenalkan susulan Pekeliling Am Jabatan Perdana Menteri pada penghujung 2025 kini menjadi panduan penilaian integriti secara menyeluruh.
“Setakat ini, lebih 37 organisasi telah menerima pengiktirafan SPINE atas amalan tatakelola cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata IIM akan memperluas pendekatan pembudayaan integriti menerusi beberapa inisiatif pada separuh kedua tahun ini, termasuk Integriti Fun Walk (IFW) yang dijadualkan pada 16 Ogos dengan sasaran lebih 1,800 peserta.
Program itu, katanya, bertujuan menggalakkan amalan hidup sihat selain memperkukuh integriti sosial dalam kalangan masyarakat.
Turut dijadualkan ialah peluncuran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 27 Ogos ini, sebagai usaha menyemai nilai integriti sejak peringkat pendidikan asas.
Shamsul Azri berkata, Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) dan Konvensyen Integriti Nasional (KIN) pula akan berlangsung pada 5 November ini dengan perasmian dijadual disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor.
Pada masa sama, IIM turut memperkukuh kolaborasi strategik bersama Institut Latihan Awam (ILA), termasuk INTAN, ILIM, CREaTE Jabatan Kerja Raya (JKR) dan IDB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan latihan integriti kepada penjawat awam dapat dilaksanakan secara bersasar dan menyeluruh.




