KUCHING: Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan dan Hidayah Centre Foundation dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak serta Pengurusan Kompleks Islam Sarawak berjaya menganjurkan Majlis Penangguhan Ngiling Bidai Dayak Muslim 2026 bertempat di Centre Court Majma Mall Kuching.
Timbalan Yang Dipertua HIKMAH Datuk Abang Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, Islam merupakan agama universal dan Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai pembawa rahmat, panduan hidup dan petunjuk bagi seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa atau sempadan masa.
“Tujuan utama penciptaan manusia adalah untuk mengabdikan diri dan beribadah hanya kepada Allah SWT.
“Islam diturunkan sebagai manual kehidupan lengkap yang merangkumi aspek akidah, ibadah, muamalah dan akhlak.
“Sistem kehidupan Islam adalah untuk memelihara lima perkara asas manusia iaitu nyawa, akal, agama, keturunan dan harta,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Tambahnya, Islam menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan kasih sayang yang merentasi batas agama dan kaum. Justeru itu Islam menerima serta meraikan kepelbagaian budaya dalam masyarakat majmuk yang selari dengan syariat Islam.
“Saya menyeru saudara kita yang terdiri daripada pelbagai etnik supaya menitikberatkan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dari masa ke masa supaya menjadi Muslim yang bertakwa.
“Martabatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan,” ujarnya.
Abang Mohd Shibli menekankan keperluan dan kewajipan umat Islam untuk menuntut ilmu, selari dengan ayat al-Quran pertama yang diturunkan – perintah untuk membaca, menjadikan Islam sebagai agama yang menuntut hamba-Nya untuk terus belajar dan berfikir.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK) Ustaz Fadlullah Fadilah Abdullah dalam ucapan merakamkan penghargaan kepada Abang Mohd Shibli yang sudi hadir dan menyempurnakan majlis tersebut.
Majlis tersebut dimulakan dengan forum Agama Dan Budaya Berpisah Tiada yang dijayakan oleh Pengurus Hidayah Centre Foundation (HCF) Fathurrahman dan ahli panel iaitu Ustaz Norhaza Redzuan Abdullah,Ustaz Safuan Abdullah dan Damia Alyaa Maisarah.
Turut menambah seri majlis tersebut ialah alunan bacaan al-Quran oleh Lily Haryani dan penterjemah Yakub Abdullah (Iban) serta Hilmi Abdullah (Bidayuh Sadong).


