ARTIKEL

Wakil DBKU dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pendekatan pengurusan bandar berteraskan teknologi dan inovasi. Foto DBKU.

DBKU dan MYSA perluas aplikasi teknologi angkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas penggunaan teknologi angkasa dalam pengurusan bandar, sekali gus menyokong usaha menjadikan Kuching sebagai bandar pintar yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan.

Kerjasama itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang membuka ruang kepada pemanfaatan teknologi berasaskan angkasa dalam aspek perancangan, pemantauan, pengurusan dan penguatkuasaan bandar.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah MYSA, Dato’ Azlikamil Napiah, dan Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah, dalam satu majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Hadir menyaksikan pemeteraian itu ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, yang mencerminkan kesungguhan kedua-dua organisasi dalam memperkukuh pendekatan pengurusan bandar berteraskan teknologi dan inovasi.

Melalui kerjasama berkenaan, DBKU berpeluang mengoptimumkan penggunaan teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentududukan Global (GPS), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta data imej satelit bagi menyokong keperluan pengurusan bandar.

Pemanfaatan teknologi tersebut dijangka membolehkan maklumat berkaitan kawasan pentadbiran bandar diperoleh dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus membantu pihak berkuasa membuat analisis dan keputusan yang lebih berasaskan data.

Selain itu, penggunaan teknologi angkasa turut berpotensi memperkukuh keupayaan DBKU dalam menjalankan pemantauan pembangunan, mengesan perubahan guna tanah dan menyokong tindakan penguatkuasaan secara lebih sistematik dan berkesan.
Kerjasama DBKU dan MYSA itu juga dilihat selari dengan aspirasi pembangunan bandar pintar yang mengutamakan penyampaian perkhidmatan awam berkualiti, ketelusan dalam tadbir urus serta keupayaan bertindak secara pantas terhadap keperluan masyarakat.

Inisiatif berkenaan turut menyokong hala tuju Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), khususnya dalam memperluas penerapan teknologi dan aplikasi angkasa dalam sektor awam bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan pembangunan negara.

Pemeteraian MoU itu menjadi langkah penting ke arah memperkukuh transformasi digital DBKU, selain membuka peluang kepada penerapan teknologi angkasa secara lebih meluas dalam pengurusan bandar demi mewujudkan persekitaran bandar yang moden, pintar dan mampan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU