ARTIKEL

DBP tubuh pasukan petugas khas selidik, dokumentasi bahasa sukuan etnik minoriti Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pasukan petugas khas bakal ditubuhkan di Sarawak pada tahun hadapan bagi menjalankan penyelidikan untuk mendokumentasikan bahasa sukuan etnik minoriti di negeri ini supaya dapat didaftarkan dalam sistem pangkalan data bahasa.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata, pasukan itu akan ditubuhkan oleh DBP Sarawak untuk bekerjasama dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS bagi menjalankan penyelidikan berkenaan.

‘’Ia merupakan antara salah satu usaha DBP dalam memelihara bahasa sukuan selain memastikan bahasa-bahasa yang dikatakan hampir pupus dituturkan etnik di Sarawak dapat dirakamkan serta didokumentasikan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali Ke Sekolah di SMK Tun Abang Haji Openg di sini, hari ini.

Dalam mengekalkan serta melestarikan bahasa sukuan di negeri ini, Dr Hazami turut mengatakan penyelidikan serta pendokumentasian bahasa itu telah lama dijalankan termasuk melaksanakan beberapa program khas untuk penyelidikan.

Katanya, kajian telah dijalankan melibatkan hampir kesemua bahasa sukuan di Sarawak termasuk beberapa bahasa yang disebutkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini susulan dikategorikan sebagai bahasa terancam seperti bahasa Miriek, Kelabit dan Punan.

“DBP sudah menggerakkan usaha untuk memberikan perhatian dan pegawai penyelidikan DBP juga telah diarahkan supaya bekerjasama dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS untuk menjalankan kajian khusus bagi bahasa-bahasa yang sudah terancam ini.

‘’Antara bahasa sukuan yang terancam adalah Bahasa Narum, Bahasa Penan ataupun bahasa sukuan lain,’’ katanya menambah DBP juga telah menerbitkan pelbagai kamus bahasa sukuan di Sarawak seperti Kamus Bahasa Iban; Kamus Melanau Mukah; Kamus Dialek Melayu Sarawak; Kamus Dialek Bahasa Baie; Kamus Bahasa Bidayuh; Kamus Bahasa Kedayan dan lain-lain.

CENDERAHATI… Dr Hazami menyampaikan cenderahati sebagai kepada Jamli Bujang sambil disaksikan oleh Abang Haliman (pertama kanan) dan barisan tetamu yang lain.

LAIN-LAIN BERITA

Pelabuhan Bintulu peneraju pelabuhan Sarawak

KUCHING: Pelabuhan Bintulu adalah peneraju pelabuhan Sarawak, bukan sahaja dari segi eksport gas asli cecair (LNG) tetapi juga terminal eksport LNG terbesar di Asia Timur,

BERITA TERBARU

TYT Sarawak bulih gelar Pehin Sri

KUCHING: Tuai Pemegai Menua (TYT) Nengeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar udah nerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Satria Bintang Sarawak (S.B.S) ke