ARTIKEL

RAKAM KENANGAN… Dr Juanda menyampaikan replika cek kepada Aleeyah Fatin Mazlan yang menerima anugerah Pendebat Terbaik Pertandingan Debat Integriti Piala Premier Sarawak 2026 hari ini.

Debat buka ruang pelajar serlahkan bakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: BERDEBAT bukan sekadar soal siapa paling lantang bersuara, sebaliknya tempat untuk menguji keupayaan seseorang menyusun hujah, menggunakan fakta dan menyampaikan pandangan dengan jelas serta meyakinkan.

Bagi Aleeyah Fatin Mazlan, 21, pengalaman dalam dunia debat membuka ruang untuknya membuktikan bahawa kebolehan berbahas tidak terhad kepada pelajar daripada bidang tertentu sahaja.

Pelajar tahun pertama bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak itu mencipta satu lagi pencapaian apabila dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dalam Pertandingan Debat Integriti Piala Premier Sarawak anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak.

Walaupun masih berada pada peringkat awal pengajian, Aleeyah bukanlah asing dalam bidang debat kerana sudah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini, termasuk pertandingan debat Naib Canselor UiTM yang dimenangi pasukannya pada tahun lalu serta beberapa pertandingan anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Saya sudah menyertai banyak pertandingan debat sebelum ini.

“Dari segi pencapaian, ini merupakan satu penghargaan besar bagi saya apabila berpeluang menyertai pertandingan besar seperti Debat Integriti Piala Premier Sarawak,” katanya yang berasal dari Selangor itu.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi pengalaman bermakna kerana pertandingan berkenaan bukan sahaja menguji kemahiran berdebat, sebaliknya memberi peluang kepada golongan muda mengetengahkan pandangan terhadap pelbagai isu, manakala peluang berkongsi pendapat menjadi antara perkara utama yang mendorongnya untuk terus aktif dalam bidang berkenaan.

“Inspirasi pertama saya ialah apabila kita mempunyai peluang untuk berkongsi pendapat masing-masing.
“Bagi saya, perkara itu kurang diketengahkan sekarang, apatah lagi dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan pertandingan debat di Sarawak juga menunjukkan pandangan golongan muda semakin diberi perhatian dan mempunyai tempat dalam perbincangan berkaitan pembangunan negeri.

“Terutamanya ketika Sarawak kini mula menunjukkan perkembangan dalam pertandingan ini, sekali gus membuktikan negeri ini memberi kepercayaan terhadap potensi dan keupayaan generasi muda sebagai elemen penting dalam pembangunan negeri,” katanya.

Tambahnya, penglibatan dalam debat turut membuktikan bahawa minat terhadap bidang perdebatan tidak semestinya bermula daripada latar belakang pengajian undang-undang atau pentadbiran awam, sebaliknya mahasiswa daripada mana-mana bidang pengajian juga berpeluang berhujah dengan baik sekiranya mempunyai pemikiran kritis serta mampu mengemukakan fakta yang tepat dan relevan.

Justeru, Aleeyah berkata, apabila namanya diumumkan sebagai Pendebat Terbaik dalam pertandingan kali ini, beliau berasa gembira bercampur tidak percaya.

“Saya berasa gembira dan terkejut kerana tidak menyangka dipilih sebagai pemenang, apatah lagi persaingan antara pendebat yang menyertai pertandingan ini amat sengit.

“Namun, kejayaan ini tetap menjadi satu pencapaian yang bermakna bagi diri saya sebagai seorang pendebat,” ujarnya.

Sementara itu, Aleeyah juga mempunyai misi tersendiri untuk membuktikan kemampuan mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak kepada khalayak melalui pertandingan Debat Integriti Piala Premier.

“Saya percaya melalui pertandingan Debat Integriti Piala Premier ini, ia membuka satu ruang dan jalan kepada universiti kami, UiTM Cawangan Sarawak supaya dipandang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.

TAHNIAH… Aleeyah Fatin Mazlan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) bergambar sambil memegang cek bernilai RM1,500 selepas dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Debat Integriti Piala Premier Sarawak 2026 hari ini.

Selain itu, Aleeyah berkata, fakta dan logik ialah dua perkara yang menjadi asas penting dalam membina sesuatu hujah.

Katanya, seseorang yang mempunyai fakta yang tepat tetapi gagal menyampaikannya secara logik serta mudah difahami oleh masyarakat masih perlu memperbaiki cara penyampaian dan penyusunan hujah.

“Bukan fakta semata-mata yang diperlukan, sebaliknya hujah perlu disokong dengan logik dan disampaikan dengan cara yang mudah difahami supaya mesej yang ingin disampaikan dapat diterima oleh mereka yang kurang mengetahui fakta berkenaan,” jelasnya.

Kejayaan Aleeyah memperlihatkan debat bukan sekadar pertandingan mencari pemenang, sebaliknya menjadi platform untuk membina keyakinan, kemahiran berfikir dan keberanian dalam menyuarakan pandangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU