Dekati rakyat akar umbi

KUCHING: SUPP Cawangan Opar komited dalam menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin di peringkat akar umbi.

Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, beliau memuji usaha SUPP Cawangan Opar dalam menganjurkan majlis untuk mendekati KMKK yang merupakan pemimpin akar umbi.

Dalam hal berkaitan, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti itu juga mendedahkan bahawa terdapat pelbagai bantuan yang boleh dinikmati rakyat yang berkelayakan.

“KMKK boleh membantu mendaftar penghuni di bawah jagaan mereka yang layak untuk menerima bantuan.

“Ini kerana mereka lebih mengetahui mengenai keadaan sebenar OKU, ibu tunggal, bapa tunggal, pesakit buah pinggang dan orang tua yang memerlukan bantuan.

“Bantuan juga dipanjangkan kepada ibu bersalin dan anak dilahirkan dengan bantuan BIB dan EFS.

“Bagi ibu bersalin, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan memperuntukkan RM450 secara sekali bayar manakala anak baharu lahir diberi bantuan EFS berjumlah RM1,000,” katanya.

Tambahnya, ia boleh ditunaikan apabila anak mencapai umur 18 tahun dan bagi pesakit buah pinggang kronik perlu menjalani rawatan hemodialisis dengan subsidi pada anggaran RM2,000 hingga RM3,000.

“Manakala kos sekali rawatan dianggarkan RM150 hingga RM200,” jelasnya.

Beliau memberitahu, subsidi pengangkutan turut disediakan bagi lokasi terpilih.

“Bagi Kad Emas Kenyalang (KGC), ia boleh digunakan untuk kemudahan diskaun bagi pemegang kad yang berurusan dengan cawangan menyertai rakan strategik KWKPK,” ujarnya.

Beliau turut merasmikan Majlis Pemimpin Bersama KMKK anjuran SUPP Cawangan Opar di Roxy Beach Hotel Sematan, semalam.

Sementara itu Pengerusi Pengelola Kaunselor Niponi Undek berkata, majlis itu diadakan untuk merapatkan perhubungan dan membawa mesej kepada hasrat SUPP sebagai sebuah parti komponen GPS untuk merampas kerusi Opar.

Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu; Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Ibrahim antara yang turut hadir.

Suara Sarawak