KUCHING: Deklarasi Bersama antara Petronas dengan Petros memberi kuasa kepada Sarawak untuk menguruskan rizab gas yang melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan gas di Malaysia.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perjanjian menerusi deklarasi bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Mei lepas, membolehkan Sarawak merangka serta melaksanakan strategi ekonomi yang disesuaikan dengan aspirasi dan keperluan negeri.
‘’Dengan kawalan penuh terhadap pengedaran gas, Sarawak dijangka berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menarik pelaburan dalam sektor hiliran, merangsang penciptaan peluang pekerjaan, serta memacu kepelbagaian ekonomi negeri.
“Usaha ini selari dengan visi jangka panjang Sarawak untuk menjadi hab tenaga bersih yang terkemuka di rantau ini,’’ katanya pada sidang media di Bilik DUN, petang tadi.
Tambah Sebastian merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, perjanjian ini menggalakkan inisiatif pembangunan bersama antara Petronas dan Petros dalam projek utama, termasuk pembangunan saluran paip bekalan gas di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, pengeluaran hidrogen dan penjanaan tenaga untuk inisiatif tenaga hijau — menjadikan Sarawak hab tenaga serantau di ASEAN.
“Dengan mengambil peranan lebih proaktif dalam sektor tenaga, Sarawak dapat memposisikan diri dengan lebih baik dalam peralihan global ke arah tenaga boleh diperbaharui, memanfaatkan sumbernya untuk pembangunan lestari dan meningkatkan keselamatan tenaga.
“Kami melihat Deklarasi Bersama ini sebagai pendekatan seimbang dan strategik dalam tadbir urus sumber, satu langkah penting untuk merealisasikan aspirasi Sarawak bagi autonomi lebih besar dan pembangunan yang saksama.
“Kami komited menyokong pelaksanaannya dan memastikan prinsip yang dipersetujui membawa manfaat kepada rakyat Sarawak,’’ katanya.


