ARTIKEL

Abang Johari (barisan belakang, tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan pada program Safari Memancing Tanjung Manis Ke-18 yang berlangsung di Terminal Ekspres Tanjung Manis, hari ini.

Delta Rajang bakal alami gelombang kedua pembangunan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANJUNG MANIS: Kawasan Delta Rajang bakal melalui gelombang kedua pembangunan apabila Kerajaan Sarawak merancang menjadikannya sebagai satu tarikan baharu dalam sektor pelancongan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu memberi tumpuan kepada sektor makanan dan pelancongan yang akan meningkatkan ekonomi setempat serta negeri.

Pembangunan ini, katanya, adalah kesinambungan usaha yang dimulakan 40 tahun lalu ketika beliau ditugaskan oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk membuka Tanjung Manis.

“Kini saya akan membina gelombang kedua supaya kawasan Kuala Rajang, Tanjung Manis dan seluruh Delta Rajang menjadi tumpuan pembangunan, iaitu dari sektor pemakanan dan pelancongan.

“Menerusi gelombang kedua, kita akan membesarkan Lapangan Terbang Baharu Tanjung Manis, membina padang golf baharu serta menjadikan Pantai Belawai sebagai tumpuan pelancongan seperti Hawaii,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Safari Memancing Tanjung Manis Ke-18 yang berlangsung di Terminal Ekspres Tanjung Manis, hari ini.

Dari segi pelancongan makanan, Abang Johari berkata, Sarawak menerusi Tanjung Manis mampu menarik pelancong antarabangsa khususnya dari Korea dan Jepun yang terkenal dengan budaya makanan laut.

“Seperti pelancong Jepun, mereka meminati makanan berasaskan ikan, sama seperti sashimi yang kita jual iaitu umai… Jadi kita mempunyai umai dari Belawai.

“Umai ini boleh kita perkenalkan sebagai ‘sepupu’ kepada sashimi. Apabila mereka datang, mereka akan berbelanja dan secara langsung meningkatkan pendapatan ekonomi tempatan,” katanya.

Abang Johari berkata, kehadiran pelancong asing juga memberi nilai tambah kerana mereka berbelanja menggunakan mata wang asing.

“Mereka akan menggunakan dolar Amerika. Satu dolar bersamaan RM4.20, maka setiap perbelanjaan mereka akan membawa pulangan lebih tinggi kepada masyarakat kita. Inilah perancangan kita untuk gelombang kedua pembangunan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU