Jadual padat sebulan
dirujuk setiap hari
tidak mahu ketinggalan
menonton pasukan pilihan beraksi.
Rutin jemaah bola sepak
lepak berkumpulan di kedai
mamak
tak seronok tonton di rumah
bersama isteri
asyik tanya itu ini
komen begitu begini.
Di kedai mamak
bikin sembang sambil memberang
minum bergelas-gelas
bayar sendiri-sendiri
pulang masing-masing
apa salahnya, empat tahun sekali.
Kagum kelibat idola
tendangan keras, terukur dan
terarah
berlari tanpa banyak berfikir
lapar mencari mulut gawang
pantang terganga
rembatan padu menerjah jaring.
Laju larian meluru
bagai miliki dua paru-paru
mengumpan, menyambut bola
tarik ke belakang, mencari celah
kecedikan seorang penyerang.
Kegagalan bukan satu pilihan
dan kita tidak boleh memilih
bagaimana cerita itu berakhir
menjulang trofi atau selesa
menjaring mimpi.
Antara sedih dengan gembira
air mata dan senyum
resah dan tenang
aku memilih memujuk rasa.
Ada teman sempat menangis,
“Bola sepak Korea Selatan sudah
mati”
Puas kupujuk, “Sudah-sudahlah.
Kita, kan harimau”
Banting, Selangor
Ogos 2026



