Denda RM50,000 cuba rasuah polis

KUCHING: Seorang peniaga dari Bandar Serian yang mengaku bersalah terhadap tuduhan memberi rasuah sebanyak RM10,000 kepada polis.

Peniaga itu cuba mengelak diambil tindakan kerana melakukan kesalahan tidak membayar cukai kastam, dipenjara 10 hari dan denda RM50,000 atau dua bulan penjara semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan lelaki berusia 57 tahun itu menjalani hukuman berkenaan setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 24(1)(a) dan (b) Akta Suruhanjaya Kesalahan Rasuah Malaysia 1969.

Tertuduh cuba merasuah se-banyak RM10,000 kepada pegawai polis yang bertugas di Batalion 11, Pasukan Gerakan Am Batu Kawa pada jam 10 pagi pada 4 Februari lalu di hadapan sebuah rumah stor di Jalan Bandar Serian Kampung Cina.

Menurut fakta kes, pada 4 Februari 2020, pada jam 10 pagi, satu operasi bersepadu dijalankan oleh bahagian perisikan Pasukan Gerakan Am Batallion 11 Batu Kawa bersama-sama dua pegawai penguat kuasa SPRM.

Anggota berkenaan telah menangkap seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Jalan Bandar Serian Kampung Cina.

Lelaki berkenaan menunjukkan dia mempunyai beberapa kotak rokok yang tidak dikenakan cukai kastam.

Tertuduh kemudian menawarkan wang kepada pengadu bagi mengelak pengadu mengambil tindakan terhadapnya.

Tertuduh telah memberikan RM10,000 sebagai hadiah supaya tindakan tidak diambil terhadapnya.

Pengadu telah memberi amaran bahawa tindakan tertuduh salah, namun tertuduh tidak mengendahkan amaran tersebut.

Perbuatannya itu telah disaksikan oleh seorang pegawai penguat kuasa SPRM dan dengan itu tertuduh di tahan pada jam 10.20 pagi hari yang sama.

Laporan penangkapan dibuat pada jam 2 petang serta wang berkenaan dirampas sebagai bukti.

Suara Sarawak