KABONG: Peruntukan sebanyak RM350,000 diluluskan bagi kerja-kerja menaik taraf Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Nyabor (LAKIN), sekali gus memperkukuh kemudahan komuniti setempat menjelang Ramadan.
ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, berkata penaiktarafan dewan berkenaan menjadi antara fokus utama bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan kondusif dapat disediakan untuk kegunaan orang ramai.
Menurut beliau, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 berjumlah RM350,000 dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Nyabor serta kawasan sekitarnya, khususnya sepanjang Ramadan.
“Dewan ini sering menjadi tumpuan orang ramai, terutamanya sebagai lokasi jualan juadah berbuka puasa.
Justeru, penaiktarafan ini penting bagi memastikan keselesaan dan kelancaran aktiviti yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi selepas mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata, penambahbaikan kemudahan itu dijangka meningkatkan keselesaan pengguna termasuk penganjur program, peniaga kecil serta masyarakat setempat yang memanfaatkan dewan berkenaan bagi pelbagai aktiviti sepanjang tahun.
Selain itu, katanya, penaiktarafan Dewan LAKIN turut menyokong penganjuran Bazar Ramadan Nyabor secara lebih teratur dan sistematik, sekali gus membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membuka peluang penjanaan pendapatan kepada peniaga kecil.
Mohd Chee berkata, kemudahan dewan yang lebih baik juga memudahkan penganjuran majlis berbuka puasa, ceramah agama, gotong-royong serta program kebajikan lain dengan penyertaan aktif masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak RM25.9 juta peruntukan di bawah BDDA diluluskan bagi melaksanakan tiga projek pembangunan utama di Pantai Tanjung Kembang, bertujuan memperkukuh sektor pelancongan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Menurutnya, peruntukan itu merangkumi cadangan pembangunan medan selera dan inap desa bernilai RM15.9 juta, selain kerja naik taraf fasiliti pantai dengan kos RM10 juta.


