ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani plak perasmian virtual Dewan Premier Sarawak bersempena perasmian Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2026 di Bintulu pada Isnin.

Dewan Premier Sarawak dilancarkan, perkukuh kerjasama dengan UTM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan berasaskan ilmu dan teknologi apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan Dewan Premier Sarawak, hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pelancaran tersebut bersempena perasmian Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2026 yang diadakan di Hotel Imperial di sini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa tadbir urus tanah serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Dewan Premier Sarawak yang terletak di kampus UTM Skudai, Johor Bahru diwujudkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan RM5 juta daripada kerajaan Sarawak menerusi pelaksanaan inisiatif makmal satelit secara kolaboratif antara Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Sumbangan itu turut merangkumi pembiayaan Geran Kerusi Premier Sarawak yang menyokong 13 projek penyelidikan strategik, khususnya dalam bidang pengurusan tanah, ukur dan pembangunan mampan.

Pada majlis sama, Abang Johari turut melancarkan Pelan Strategik Jabatan Tanah dan Survei Sarawak 2026–2030 yang menjadi dokumen panduan utama bagi memacu hala tuju pentadbiran dan tadbir urus tanah negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berucap pada majlis berkenaan, beliau menegaskan bahawa pentadbiran tanah merupakan satu amanah besar yang menuntut tahap integriti, kejujuran dan akauntabiliti tertinggi daripada setiap pegawai, selain menekankan dasar toleransi sifar terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Menurut beliau, dalam persekitaran global yang sentiasa berubah, pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi mencukupi, sebaliknya inovasi dan penambahbaikan berterusan perlu menjadi budaya dalam organisasi.

Beliau berkata penerapan teknologi terkini, penggunaan analitik data serta amalan terbaik akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa modal insan merupakan aset paling bernilai dalam memastikan sistem pentadbiran tanah yang berkesan, dengan kekuatan Jabatan Tanah dan Survei terletak pada kecekapan, integriti serta dedikasi warganya.
“Pegawai bukan sahaja perlu mahir dari segi teknikal, malah bersifat mesra rakyat, berfikiran terbuka, inovatif dan berorientasikan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas mengenai tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan, beliau berkata kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran tanah perlu terus dipelihara melalui kecekapan, ketelusan, profesionalisme dan integriti.

Beliau turut mengingatkan bahawa kelewatan, prosedur yang tidak jelas serta keputusan yang tidak konsisten boleh menjejaskan keyakinan awam.

Justeru, tegasnya, sistem penyampaian perkhidmatan perlu sentiasa diperkukuh melalui penambahbaikan proses, garis panduan yang jelas serta pembudayaan persekitaran kerja berprestasi tinggi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU