KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat Filipina hari ini meluluskan satu resolusi khas bagi mengiktiraf usaha dan komitmen Parlimen Malaysia untuk memperluas kerjasama antara Parlimen serantau.
Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan resolusi khas itu, diluluskan semasa lawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Johari Abdul, ke negara berkenaan, sebagai tanda penghormatan terhadap hubungan erat Malaysia dan Filipina.
Menurut kenyataan itu, ketika lawatan tersebut, Johari, yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46, mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Speaker Dewan Rakyat Filipina, Ferdinand Martin G. Romualdez.
“Kedua-dua Speaker telah mengulangi komitmen untuk meneruskan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama lebih enam dekad, di samping mengetengahkan kepentingan kerjasama dalam isu-isu utama serantau, termasuk pertumbuhan ekonomi, keamanan dan keselamatan, keterjaminan makanan serta tindakan menangani perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, semasa pertemuan tersebut, Johari turut menyampaikan jemputan kepada Romualdez dan delegasi Parlimen Filipina untuk menyertai AIPA ke-46 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada September 2025.
Menurut kenyataan itu, Johari turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Filipina, Francis Escudero.
Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menekankan peranan diplomasi Parlimen dalam usaha memperkukuh keutamaan ASEAN bagi menangani isu dan mencorakkan hala tuju rantau ini.
Filipina merupakan rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2024, dengan jumlah dagangan bernilai RM35.16 bilion (AS$7.68 bilion), peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2023. – BERNAMA



