
ADI SABARIMAN
TINTA KARYA, TANGKAK
MUSIM durian sudah tiba. Di kampungku masih terdapat pokok durian tua gagah menjulang langit.
Ia ditanam generasi pertama yang tinggal di kampung itu dengan niat untuk anak cucu menikmatinya apabila berbuah.
Orang kata rasa durian kampung sedap.
Seorang penduduk kampung, Wak Ansor memiliki beberapa batang pokok durian peninggalan arwah bapanya yang ditanam di belakang rumah.
Setiap kali musim durian memang berbuah lebat.
Wak Ansor, usianya dalam lingkungan 60-an memang selalu mengunjungi warung untuk minum dan bersembang.
Bahkan, setiap hari dia duduk di warung, malah selepas solat Isyak di surau, dia singgah dan bersembang hingga malam.
“Pokok durian di belakang rumah Wak berbuah tak?” tanya Din pemilik warung.
Dia memang tahu, sengaja bertanya mana tahu apabila dia datang ke warung di bawanya dua tiga biji durian.
“Ada juga dua tiga pokok berbuah, dah mula luruh. Lumayan juga nampaknya.
“Kalau nak merasa datang rumah. Kalau ada yang gugur rezeki awak dapat merasa,” jelas Wak Ansor sambil menghirup kopi O panas yang dipesannya.
Setelah bersembang, Wak Ansor mohon diri balik rumah, mengantuk katanya. Penat agaknya.
Dalam usia warga emas itu, dia masih kuat berbasikal dan menjaja kelapa sayur ke kampung-kampung.
Hasil jualan kelapa sayur walaupun tidak seberapa, tetapi cukup untuk menampung perbelanjaan hariannya terutama minum kopi di warung.
Keesokan harinya, sebelum Wak Ansor singgah di warung selepas balik dari surau, Din bersama dua orang rakannya mengeluarkan beberapa biji durian.
Durian baru gugur dilihat pada tangkainya yang masih baru.
Atan mengopek sebiji durian dalam anggaran sekilogram.
“Wow! Ini durian kucing tidur. Tengok isinya kuning dan tebal.
Sedap dan lemak,” kata Ajib sambil mengambil seulas daripada pangsa yang sudah terbelah.
Atan mengopek lagi baki durian yang dikeluarkan dan diletakkan di meja.
Mereka sama-sama menjamah kelazatan durian kampung.
Tidak lama kemudian, Wak Ansor keluar dari surau dan singgah di warung.
Belum sempat duduk dia sudah bersuara.
“Wah sedapnya makan durian.
Baunya menusuk hidung,” katanya.
“Sini Wak, kita sama-sama makan durian ni.
Sedap Wak durian tembaga ni. Isinya tebal,” pelawa Atan.
Din dan Ajib memandang antara satu sama lain sambil tersenyum simpul.
Wak Ansor mengambil seulas durian tembaga lalu dijamahnya.
Habis dua tiga ulas juga dia menikmati durian kampung di meja itu.
“Alhamdulillah.
Enak durian ni.
Rasanya sedap serupa dengan pokok dekat belakang rumah Wak.
Engkau dapat kat mana Din?” tanya Wak Ansor sambil membasuh tangan di sinki selepas selesai makan beberapa ulas durian.
“Ada orang bagi tadi Wak. Katanya isi durian kampung yang dia tanam rasanya sedap. Pokok durian tua,” jelas Din sambil menahan ketawa.
Sebenarnya selepas Maghrib tadi, Din menyuruh Atan dan Ajib ke rumah Wak Ansor untuk menyuluh durian.
Kalau ada yang gugur, rezeki mereka merasa durian kampung Wak Ansor.
Lagipun sebelum ini Wak Ansor sudah memberi lampu hijau kepada Din untuk mengutip buah durian yang gugur di belakang rumahnya.
“Dapat juga kita merasa durian Wak Ansor.
Nasib baik ada empat biji yang baru gugur,” kata Atan kepada Ajib sambil memasukkan durian ke dalam guni untuk dibawa ke warung Din.
Selepas makan durian, Wak Ansor menaiki basikal tuanya balik rumah.
Mereka bertiga yang sejak awal tadi menahan ketawa terus ketawa berdekah-dekah.
Wak Ansor tidak tahu durian yang dimakannya sebenarnya daripada pokok duriannya sendiri.
Dia rasa keenakan duriannya sendiri.
Sejak kejadian malam itu, apabila ternampak kelibat Wak Ansor, mereka tertawa mengenangkan peristiwa dia rasa duriannya sendiri!



