KAWASAKI, Jepun: Kerajaan Sarawak, dalam sesi dialog bersama Pertubuhan Pembangunan Teknologi Perindustrian dan Tenaga Baharu (NEDO), mempamerkan dedikasi Bumi Kenyalang untuk menjadi peneraju dalam kelestarian alam sekitar serta tenaga boleh diperbaharui, termasuk teknologi hijau.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, berkata pihaknya menggariskan inisiatif dan rangka kerja pembangunan semasa Sarawak berhubung pelan tindakan kemampanan, strategi peralihan tenaga, dan matlamat peralihan bersih-sifar.
“Ruang ini mempamerkan dedikasi Sarawak untuk menjadi peneraju dalam kelestarian alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui, termasuk teknologi hijau,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, perbincangan turut menekankan sokongan NEDO kepada projek mikroalga di Sarawak, bertujuan untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Ini, katanya lagi, menunjukkan contoh konkrit kerjasama berterusan antara Sarawak dengan Jepun.
Muhammad Abdullah menggalakkan kerjasama selanjutnya dengan NEDO, yang menonjolkan komitmen Sarawak terhadap inisiatif hijau.
“NEDO membentangkan gambaran keseluruhan projek termaju mereka dan usaha pembangunan antarabangsa dalam bidang utama, seperti Tangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), teknologi hidrogen dan ammonia, sumber tenaga boleh diperbaharui serta kitaran ekonomi,” ujarnya.
Terdahulu, semasa dialog yang diadakan di Ibu Pejabat NEDO di sini, pertubuhan itu diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Iimura Akiko.
Dialog itu secara dasar bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan tenaga dan perindustrian lestari.
Dalam kenyataan sama, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mencapai masa hadapan yang mampan.
Selepas pembentangan daripada kedua-dua pihak, masing-masing terlibat dalam perbincangan dan pertukaran pendapat untuk meneroka jalan bagi projek bersama yang berpotensi dan perkongsian pengetahuan.

