ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Diet boleh menambah baik kesihatan secara keseluruhan – Pakar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pengambilan protein hingga 1.5 gram per kilogram berat badan serta mengambil lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran segar, serat dan daging tanpa lemak dalam diet pemakanan mampu menambah baik kesihatan secara keseluruhan, menurut pakar perubatan.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Lim Sim Yee dan Pakar Perunding Pembedahan Am dan Gastrousus Atas SMC Dr Soon Yuen berkata tubuh badan manusia mengalami beberapa perubahan semula jadi yang mempengaruhi sistem pencernaan seiring dengan peningkatan usia.

“Walaupun perubahan ini tidak dapat dielakkan, terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk mengekalkan kesihatan pencernaan yang baik dan mengurangkan sebarang ketidakselesaan atau gangguan mungkin berlaku,” menurut kedua-dua pakar itu dalam kenyataan dikeluarkan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway semalam.
Menurut kedua-dua pakar perubatan itu, sistem pencernaan yang juga dikenali sebagai saluran gastrousus (GI) berfungsi untuk mencernakan makanan, menyerap nutrien dan membuang sisa.

“Apabila usia kita bertambah, beberapa faktor menyumbang kepada perubahan dalam sistem pencernaan termasuk pengeluaran enzim pencernaan semakin berkurangan, pergerakan otot lebih perlahan, perubahan bakteria usus serta kesan sampingan ubat-ubatan,” menurut pakar itu.

Mereka berkata hampir 40 peratus daripada golongan dewasa yang lebih tua mempunyai satu atau lebih gejala penghadaman berkaitan usia setiap tahun.

“Penting untuk menggalakkan individu memberi perhatian kepada masalah penghadaman dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu isu yang biasa apabila meningkat usia kerana ia mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius seperti kanser usus,” kata mereka.

Kedua-dua pakar perubatan itu berkata golongan berusia cenderung untuk mengalami masalah kesihatan pencernaan seperti sembelit, pedih ulu hati, divertikulosis dan intoleransi laktosa disebabkan perubahan yang berkait dengan faktor usia.

Di samping itu, mereka berkata penyakit kronik seperti diabetes juga boleh memberi kesan buruk kepada sistem pencernaan dengan mengubah pergerakan usus kerana paras gula tinggi dalam darah biasanya dikaitkan dengan diabetes boleh menjurus kepada gastroparesis, iaitu suatu keadaan mempengaruhi cara pencernaan makanan.

Dr Lim dan Dr Soon berkata peranan pakar geriatrik adalah penting dalam menguruskan isu-isu kesihatan yang kompleks kerana pakar geriatrik lebih arif dalam menyeimbangkan ubat-ubatan dan menguruskan komplikasi penyakit berkait dengan usia.

Dr Lim berkata ubat-ubatan preskripsi yang selalunya menjadi elemen penting dalam pengurusan kesihatan pada usia tua, boleh menyebabkan masalah sembelit dan masalah penghadaman lain.

Sementara itu, Dr Soon berkata pakar geriatrik adalah penyelaras penjagaan terbaik dan mahir dalam penjagaan yang kompleks.
“Mereka (pakar geriatrik) mampu berkomunikasi dengan pesakit, memberi preskripsi ubat-ubatan dan menyediakan rawatan komprehensif untuk merawat pesakit dengan baik, dengan kesan sampingan yang minimum,” katanya.
Selain itu, Dr Soon berkata kerentanan terhadap ulser gastrik dan gastritis dalam kalangan individu lebih tua juga meningkat disebabkan mekanisme perlindungan yang semakin merosot seiring pertambahan usia.
“Antara penyebabnya ialah Helicobacter pylori (H. pylori), iaitu satu-satunya bakteria diklasifikasikan sebagai karsinogen Kelas 1 (kuman punca kanser) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Beliau berkata kerjasama pelbagai disiplin antara pakar geriatrik dan kepakaran lain juga adalah penting bagi menangani cabaran kesihatan yang saling berhubung seperti komplikasi kardiovaskular dan penyakit demensia.
Katanya, komplikasi kardiovaskular juga boleh menjadi punca penyakit demensia dan ia sangat berkait rapat sekali gus menggariskan keperluan untuk rawatan holistik.
— BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

TAG: gejala penghadaman, pencernaan, kesihatan, gastroenterologi, perubatan

AEO KAI ERE ZUZ

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Belematika pemesai reti turai sejarah Sarawak

SIBU: Pengerami ‘722 Run For Sarawak’ udah dikelala nyadi sebengkah pengerami ti besai reti nyerumba Hari Sarawak. Sapit Menteri Pengerai Mensia Mayuh, Pengawa Berumah enggau