KUCHING: Persidangan Teknologi Digital Nexus 2025 (DigitalNEXUS) memainkan peranan penting dalam usaha Sarawak untuk memperluas infrastruktur dan membina tenaga kerja celik digital di negeri ini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut penting untuk menggalakkan inovasi dalam semua sektor sekali gus membantu menilai kemajuan, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta menyemarakkan semula semangat kolektif terhadap agenda transformasi ini.
“Saya percaya pandangan dan pengalaman yang dikongsi di sini pastinya akan menyumbang kepada usaha kita untuk mempercepatkan transformasi digital kita.
“Kita mesti bersama-sama meneroka bagaimana teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), Analitik Data Raya, Internet Benda (IoT) dan rantaian blok boleh dimanfaatkan untuk merevolusikan industri, memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan kualiti hidup rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn sempena Majlis Penutupan DigitalNEXUS, di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Beliau menambah, perjalanan transformasi digital Sarawak menekankan kepentingan penguasaan celik digital dalam landskap global yang sentiasa berubah.
Jelasnya, celik digital menjadi kunci untuk membuka peluang ekonomi baharu, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, memperkasa komuniti dan memelihara warisan budaya yang unik untuk generasi akan datang.
“Kini, ketika kita melangkah ke hadapan, semua pihak berkepentingan daripada kerajaan ke sektor perniagaan, institusi pendidikan dan komuniti – mesti memainkan peranan aktif dalam mendorong evolusi digital ini.
“Marilah kita membina budaya kerjasama yang terbuka, perkongsian idea dan pengukuhan kerjasama strategik. Kita harus berani berinovasi, bersedia mencuba, belajar daripada kesilapan dan benar-benar mendepani sempadan keupayaan dalam merealisasikan visi ekonomi digital kita,” ujarnya.
Abang Johari memberitahu, generasi muda teras utama dalam revolusi digital dan perlu diperlengkapkan dengan kemahiran serta peluang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi sekali gus menjadi peneraju dalam era digital.
“Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan mengenai penyertaan aktif pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti dalam DigitalNEXUS kali ini,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, pelaburan dalam literasi digital dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan untuk menghadapi cabaran ekonomi digital.
“Masa hadapan Sarawak bergantung kepada kejayaan dalam menerapkan transformasi digital secara menyeluruh, termasuk dalam sektor industri, kesihatan, pendidikan serta keterhubungan kawasan luar bandar dengan ekonomi global,” tegasnya.
Untuk rekod, program yang berlangsung dari 1 hingga 2 Julai itu juga mendapat sokongan daripada Business Events Sarawak (BESarawak) dan rakan strategik utama termasuk Jabatan Digital Negara,
Lembaga Multimedia Sarawak, Google for Education, Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd (SAINS), dan banyak lagi.
Sagah mewakili Abang Johari mengadakan lawatan ke reruai pameran Majlis Penutupan DigitalNEXUS, di Hotel Hilton, di sini, hari ini. Foto: MOHD ALIF NONI


