KUCHING: Hasrat ejen hartanah dari Padawan memperoleh bayaran lumayan melalui kerja sambilan dalam talian tidak kesampaian malah menanggung kerugian RM400,000 selepas ditipu sindiket itu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berumur awal 30 an itu membuat laporan polis berhubung kes tersebut pada semalam.
Katanya, mangsa pada penghujung bulan Ogos lalu telah melayari satu laman sesawang syarikat Active e-Dagang CMS sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram.
“Mangsa diberikan satu pautan untuk membolehkan beliau mendaftar akaun bagi menyelesaikan tugasan dan penerangan cara-cara tugasan yang diperlukan iaitu pembayaran stok barang syarikat yang dipesan oleh pelanggan.
“Mangsa kemudian dikehendaki membuat bayaran ke atas setiap pesanan barangan yang diminta pelanggan dan dijanjikan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Azman berkata, mangsa telah melakukan sebanyak 45 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 12 akaun bank yang berlainan pada penghujung bulan Ogos sehingga penghujung September yang lalu.
Katanya, mangsa hanya menerima keuntungan berjumlah RM15,985 pada dua minggu pertama sahaja.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila tugasan pembayaran barang yang diminta semakin meningkat dan jumlah barang yang perlu dibayar turut semakin bertambah sedangkan tiada keuntungan diterima mangsa selepas itu.
“Mangsa telah cuba menghubungi syarikat suspek untuk meminta pulangan modal namun gagal,” katanya.
Beliau berkata, mangsa seterusnya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

