ARTIKEL

Rayong ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

Rayong cadang Engkilili dinaik taraf jadi daerah penuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan menaik taraf Daerah Kecil Engkilili kepada daerah penuh perlu dipercepat bagi memudahkan urusan penduduk dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya kepada masyarakat di rumah panjang serta kampung pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa berkata, proses kelulusan dan pelaksanaan cadangan itu perlu disegerakan mengikut prosedur ditetapkan.

Penaiktarafan itu bukan sekadar perubahan status pentadbiran, malah mampu memperkukuh penyelarasan pembangunan dan menjadikan Engkilili pusat perkhidmatan lebih berkesan bagi kawasan sekitarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Rayong menyambut baik pembinaan stadium baharu di Engkilili yang telah diluluskan peruntukannya, sambil menekankan keperluan kemudahan mesra OKU, aspek keselamatan dan kemudahan asas untuk semua lapisan masyarakat.

“Stadium bukan sekadar tempat pertandingan, malah ruang membentuk disiplin, memperkukuh perpaduan komuniti, membangunkan bakat belia serta menganjurkan program masyarakat,” ujarnya.

Rayong turut mengalu-alukan cadangan pembinaan Balai Bomba Engkilili dan berharap persediaan tapak, tenaga kerja serta kelengkapan operasi dipercepat bagi membolehkan balai itu beroperasi segera untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran, kemalangan dan bencana.

Rayong berkata, pembangunan rangkaian jalan raya perlu terus diberi keutamaan bagi menghubungkan pekan, kampung, rumah panjang dan kawasan pertanian, sekali gus memudahkan urusan harian penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi.

“Justeru, pemantauan mutu kerja, penyelenggaraan berkala serta penyelarasan antara agensi perlu terus diperkukuh,” katanya.

Beliau berharap semua projek yang dirancang dan diluluskan untuk Engkilili dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang jelas selepas proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU