KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini, memerintahkan seorang remaja lelaki ke Sekolah Hendry Gurney selama tiga tahun atas kesalahan mencuri sebuah motosikal di sebuah pusat latihan memandu di Matang, Julai lalu.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintah pesalah kanak-kanak itu selepas pendengaran laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini.
Dia mengaku bersalahan atas pertuduhan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Dia didakwa bersama seorang rakannya mencuri sebuah motosikal jenama Honda milik remaja berusia 19 tahun di sebuah pusat latihan memandu di Matang, kira-kira jam 10.51 pagi, 30 Julai lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


